Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia kutuk serangan flotila kemanusiaan
Diterbitkan:  Jun 1, 2010 9:53 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang menyerang kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi teguran keras terhadap rejim itu.

NONE Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ( pertama dari kanan ) berkata Malaysia akan mengusulkan perkara tersebut kepada peringkat tertinggi Majlis Keselamatan PBB supaya perkara ini dibincangkan dalam masa terdekat.

"Saya atas nama kerajaan dan rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Tel Aviv terhadap konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza," katanya kepada wartawan selepas melancarkan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni4B) di Kuala Lumpur, semalam.  

Beliau juga berkata "seluruh dunia harus mengutuk dan mengecam tindakan rakus rejim itu".

"Saya harap insiden ini akan membawa kepada satu tindakan yang boleh membawa kepada teguran keras terhadap Israel," katanya.  

        

israel palestine gaza attack 160109 04 Najib berkata serangan ini juga menunjukkan rejim Tel Aviv tidak menghormati langsung undang-undang antarabangsa dan menggunakan kuasa mereka sesuka hati tanpa sebarang pertimbangan sama ada tindakan mereka akan membawa kepada kehilangan nyawa orang-orang yang tidak berdosa.  

Perdana Menteri berkata pada masa ini beliau juga sedang menunggu butir dan maklumat sahih mengenai nasib rakyat Malaysia yang turut serta dalam konvoi itu.

Sebuah daripada sembilan buah kapal kecil konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang dianjurkan oleh kumpulan pro-Palestin dan pertubuhan hak asasi manusia Turki iaitu Mavi Marmara telah diserang oleh tentera Israel semalam berdekatan Gaza.

Dua rakyat Malaysia, iaitu seorang wartawan dan seorang jurukamera dari Astro Awani, dilaporkan berada di atas kapal itu dan nasib mereka masih tidak diketahui.

- Bernama


Nota Editor: Artikel ini dimuatkan dalam web Bernama pada jam 12:09am - 01 Jun 2010, manakala versi Bahasa Inggeris pula dimuatkan pada 12:41am

 

ADS