Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Wakil rakyat muda Pakatan Rakyat menuntut kerajaan menjalankan siasatan secara "terbuka dan telus" ke atas kematian seorang pegawai tadbir diplomatik (PTD) semasa latihan pada 31 Mei lalu.

NONE Sekumpulan empat orang wakil rakyat itu juga turut mendesak upaya kerajaan membekukan penglibatan peserta dalam latihan seumpamanya sehingga siasatan dijalankan sepenuhnya.

Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata pihak berwajib tiada pilihan selain "mendasari isu ini dengan teliti" dan menjamin tiada lagi kejadian seumpamanya berlaku.

"Pihak berkenaan harus bekukan penglibatan peserta di dalam latihan seumpanaya sehingga ia disiasat sepenuhnya dengan yelus dan terbuka," kata Nurul Izzah yang membacakan satu kenyataan.

"Sekiranya latihan dikendalikan oleh perunding, adakah perunding ini mempunyai latar belakang profesional," soalnya.

Dalam insiden itu, mangsa Norhashimah Wahid, 31, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang  selepas mengikuti kursus ala komando di Jugra, Kuala Langat.

Beliau yang berkhidmat dengan Kementerian Kewangan di Putrajaya, difahamkan mengikuti kursus Modul Jati Diri di sebuah kawasan hutan yang dikendalikan oleh Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU).

NONE Selain Nurul Izzah, turut hadir ialah tiga ADUN PKR iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amiruddin Shari (Batu Caves) dan Sim Tze Tzin dari Pantai Jerjak.

Dalam sidang media itu juga, Nurul Izzah turut membangkit enam perkara utama berkaitan kematian Norhashimah iaitu:

- Siapakah yang mengendalikan modul bina semangat berkenaan?

- Apakah modul itu memenuhi piawaian keselamatan dan mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas berhubung keselamatan peserta?

- Mengapakah allahyarham dipaksa meneruskan latihan fizikal tersebut sedangkan beliau sudahpun menunjukkan tanda-tanda sakit?

- Apakah benar peserta terpaksa menggagahkan diri untuk meneruskan latihan tersebut kerana menerima ugutan bahawa mereka akan terpaksa mengulangi keseluruhan latihan selama tujuh bulan sekiranya mereka gagal menghabiskan latihan tersebut?

- Mengapakah doktor yang merawat Norhashimah menyatakan allahyarham lewat dihantar ke hospital untuk menerima rawatan?

- Mengapakah suami Norhashimah hanya dimaklumkan oleh pihak hospital, bukan daripada pegawai yang menyelaras latihan berkenaan dan juga pegawai yang bertanggungjawab menghantar allahyarham ke hospital?

Sehubungan itu, kata Nurul Izzah berkata, keluarga Norhashimah telah menafikan dakwaan sesetangah pihak bahawa beliau "tidak sihat dan cergas".

"Beliau merupakan seorang penyelam bertauliah dan sangat menyukai aktiviti lasak. Sebarang keadaan yang mencurigakan dapat dikesan di dalam pemeriksaan kesihatan, dan dalam situasi ini, apakah peserta perlu melalui sebarang bentuk pemeriksaan kesihatan sebelum modul dijalani sepenuhnya?" soal Nurul Izzah.

"Hatta satu kehilangan nyawa seperti ini jelas merupakan satu kehilangan besar, dan sebarang kecuaian harus didedah dan dihukum," tegasnya.

Sehubungan itu Nurul Izzah mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 1 Jun lalu hanya menjelaskan "pengisian kursus Diploma Pengurusan Awam secara umum tanpa mengulas secara spesifik" apa yang dilalui oleh Norhashimah dan rakan-rakannya.

Malah, kata Nurul Izzah,  kenyataaan tersebut juga gagal menjawab penafian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengenai penglibatan mana-mana pegawai TUDM di dalam latihan tersebut.

 

 

 

ADS