Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Arahan pada UM kuburkan kebebasan akademik'
Diterbitkan:  Jun 3, 2010 5:53 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Tindakan kementerian pengajian tinggi mengarahkan Universiti Malaya (UM) menghantar laporan terperinci berhubung diskusi buku kontroversi mengenai Tun Dr Mahathir dikritik banyak pihak, termasuk daripada parti komponen BN sendiri.

Arahan daripada menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin buku tulisan Barry Wain, Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times itu dilihat sebagai satu ancaman kepada kebebasan akademik dan autonomi universiti.

pkr weeklly pc 090807 amirudin shari Menurut Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Amirudin Shari ( kiri ), tindakan Khaled itu merupakan "satu tekanan atau amaran" terhadap universiti tertua negara itu, sekali gus mengkebumikan kebebasan akademik.

"Kebimbangan Khaled, kononnya program tersebut hanya digunakan untuk memburukkan negarawan, Umno dan orang Melayu amatlah dangkal dan bodoh; dan seperti mahu menutup kebenaran yang tersembunyi dari buku Barry Wain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Sangat melucukan, perbahasan tentang kandungan buku Barry Wain telah diulas di serata tempat, tetapi ia seolah-olah dilarang untuk dibahas dalam universiti."

Pada 31 Mei lalu, Mohamed Khaled mengeluarkan arahan itu bagi memastikan program berbentuk akademik yang dianjurkan kelak tidak lari daripada matlamat asal dan dijadikan platform untuk agenda individu tertentu.

Menurut Khaled meskipun universiti mempunyai kuasa untuk memutus dan menganjurkan sebarang program di dalam kampus masing-masing mengikut budi bicara Naib Canselor, namun garis panduan dan tatacara jelas perlu disediakan.

Sementara itu, dalam satu lagi kenyataan hari ini, pendirian AMK itu turut dikongsi bersama Pemuda GERAKAN - satu komponen dalam gabungan parti pemerintah BN.

dominic lau hoe chai Setiausahanya Dr Dominic Lau ( kanan ) pula berkata hak untuk mempraktikkan kebebasan akademik dan autonomi universiti sentiasa dijamin di peringkat antarabangsa melalui Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Keperluan menghantar laporan jelas menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan masih mengawal aktiviti dan wacana universiti macam Big Brother ," kata Dr Dominic.

' Big Brother' - istilah yang diperkenalkan penulis lagenda dunia George Orwell dalam novelnya 1984 - merupakan istilah sinis menggambarkan kawalan kerajaan dalam sesebuah negara.

Dominic juga berkata kerajaan tidak sepatutnya terancam dengan perbincangan intelektual itu sebaliknya menghindarkan mentaliti penafian dan "berani mengakui kebenaran".

ADS