Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salah urus KSSB: K'jaan S'gor janji lebih hati-hati
Diterbitkan:  Jun 5, 2010 4:13 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Ekoran penemuan salah urus tadbir dalam Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini berjanji akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan berhubung pemberian insentif kepada anak syarikat kerajan negeri.

 "Menyentuh isu pemberian bonus kepada pegawai dan kakitangan KSSB, Kerajaan negeri peka dengan sentimen rakyat dan akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan dalam pemberian insentif pada masa hadapan," katanya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) Teng Chang Khim berkata, dakwaan rasuah terhadap KSSB 'tidak berasas', tetapi wujud unsur salah urus .

Pada 2 Jun, hari pertama pendengaran awam itu, Selcat dilaporkan mempersoalkan pemberian bonus enam bulan kepada kakitangan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam tempoh September 2008 hingga Jun 2009, sedangkan syarikat baru ditubuhkan pada Julai 2008.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khalid bagaimanapun mengucapkan tahniah jawatankuasa khas bawah DUN negeri itu yang "menjelaskan banyak isu yang tertimbul" berkenaan industri perlombongan pasir, termasuklah kes kecurian dan pengurusan KSSB.

"Sesi pendangaran awam oleh Selcat juga membuktikan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan melindungi jika ada sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa selaras dengan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban," katanya.

Beliau yang juga pengerusi PKR Selangor berkata, mengikut keterangan yang diberikan, jelas kejadian mencuri pasir galian telah berlaku sejak sekian lama sebelum Pakatan mengambil alih pentadbiran Selangor pada Mac 2008.

"Selepas Pakatan mengambil alih, hasil ini meningkat hampir tiga kali ganda iaitu sebanyak RM6.3 juta pada 2008 dan RM5.4 juta pada 2009.

"Walaupun ada penurunan kutipan royalti pada 2009, angka itu dua kali ganda lebih tinggi berbanding (ketika) bawah kerajaan BN," katanya.

ADS