Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jalan mudah selesai kemelut ekonomi beban rakyat'

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) melahirkan rasa curiga terhadap penyelesaian kemelut ekonomi yang mengambil jalan mudah dengan strategi yang akan membebankan rakyat.

"Keadaan negara sekarang sebenarnya sebagaimana yang telah digambarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, boleh jadi bankrap dalam tempoh sembilan tahun lagi. Ianya kerana tidak cermat dan telus mengurus strategi pemberian subsidi.

"Kita amat curiga bahawa dalam mencari penyelesaian kemelut ekonomi kerajaan BN yang diterajui oleh Umno, (ia) mengambil jalan mudah dengan strategi yang akan membebankan rakyat.

"Pandangan dan pendekatan serta tindakan yang mereka ambil tidak pernah mengambil kira pandangan kita," kata ketua Muslimat PAS, Nuridah Salleh dalam teks ucaptamanya di muktamar Dewan itu di Kota Bharu hari ini.

Tambahnya, sejak merdeka lagi, strategi pemberian subsidi adalah untuk kebajikan rakyat, tetapi kini ianya dilihat banyak menguntungkan kroni-kroni.

toll booths smarttag and touch n go booths "Konsesi tol lebuhraya dengan perjanjian yang berat sebelah, subsidi gas untuk penjana kuasa letrik dan perjanjian jual-beli dan banyak lagi penyelewengan yang tidak dibentang dalam kajian yang mereka war-warkan kepada rakyat.

"Bagi kita, negara akan muflis bukan kerana subsidi tetapi selagi Umno menguasai kerajaan. Negara akan bankrap kerana dasar 'crony capitalism'- mementingkan suku-sakat, penyelewengan dan rasuah yang sinonim dengan Umno-BN sekarang.

"Kenyataan 1Malaysia rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, hanya satu slogan kosong bagi mengaburi mata rakyat," katanya.

Nuridah berkata, Muslimat tidak akan menyokong sama sekali sebarang kerjasama politik dengan Umno dan BN yang telah mengkhianati amanah rakyat serta sangat memusuhi perjuangan mereka.

Namun, beliau berkata, mereka masih bersedia membuka pintu dialog dengan sesiapa sahaja demi menjaga maslahah (keperluan) dan kesejahteraan ummah.

Sementara itu, beliau turut menasihati Muslimat PAS supaya keluar dari budaya negatif yang akan merugikan jamaah.

"Muslimat PAS mesti keluar dari budaya negatif yang merugikan jamaah kita. Jauhilah sikap mencari kesalahan sahabat seperjuangan di dalam jamaah hanya disebabkan perselisihan pendapat.

"Bagi kita kepelbagaian pendapat dan pendekatan adalah satu rahmat. Ianya perlu bijak diuruskan pada landasan syarak agar menghasilkan rumusan serta natijah yang cemerlang.

"Hindarilah budaya hanya pandai memberi  kritikan melulu yang tidak berhemah, menyakiti hati sesama anggota jamaah yang akan menghilangkan rasa hormat terhadap pemimpin dan orang yang dipimpin.

"Semua kritikan bernas mestilah disusuli dengan tindakan yang berkesan dan praktikal. Utamakanlah  akhlak berjamaah dalam segala urusan setiap masa, agar kita dapat menghimpun sebanyak mungkin pahala berjamaah untuk bekalan kita di akhirat kelak," tegasnya.

Beliau turut membaca sepotong ayat al-Quran dari surah al-Baqarah, ayat 195 bagi mengukuhkan hujahnya.

Muktamar Agung PAS kali ke-56 di Kelantan menyaksikan majlis perasmian persidangan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama dilakukan serentak di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa semalam, disempurnakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

ADS