Panel khas Kementerian Dalam Negeri yang menyiasat kejadian remaja Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis, masih membisu sama ada akan mengumumkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO).
"Buat masa ini, biar kami siapkan dengan penambahbaikan (IGSO) dan kami akan putuskan kemudian," kata pengerusi panel tersebut, Datuk Abu Seman Yusop ketika ditanya mengenai perkara itu dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Antara lain, IGSO menetapkan mengenai penggunaan senjata api polis, yang telah dipersoalkan berikut kejadian polis menembak mati Aminulrasyid pada 28 April lalu.
Bagaimanapun, dokumen tersebut dianggap rahsia.
Sementara itu, Abu Seman berkata panel tersebut mengesyorkan pihak polis menggunakan model pasukan polis Ontario, Kanada untuk memperbaiki IGSO.
Katanya, contoh berkenaan diambil kira kerana ia bersifat lebih menyeluruh dalam aspek penggunaan semua jenis senjata oleh polis dalam setiap situasi.
Abu Seman menjelaskan, pembaikan itu juga akan bermula dengan memperincikan perintah lisan oleh polis.
Jelasnya, penambahbaikan itu akan dibuat dalam satu pakej, bermula daripada perintah lisan, termasuk penggunaan gari, cota, taser sehinggalah senjata api.
"IGSO yang diguna sekarang hanya berkaitan penggunaan senjata api, namun aspek lain hanya melalui perintah pentadbiran," katanya.
Katanya, panel tersebut kini sedang menyediakan draf peringkat kedua penambahbaikan tersebut.
"IGSO yang diguna sekarang hanya berkaitan penggunaan senjata api, namun aspek lain hanya melalui perintah pentadbiran," katanya.
Jelasnya, perintah pentadbiran itu hanya berdasarkan peruntukan dalam Kanun Acara Jenaya yang menghalang polis daripada menyebabkan kematian.
"Jadi daripada perintah umum itu, kita akan wujudkan keadaan-keadaan di mana senjata boleh digunakan," katanya lagi.
"(Penambahbaikan) ini lebih kepada penggunaan (senjata) mengikut situasi. Apa tindakan kekerasan yang boleh digunakan dan apa peralatan yang patut diguna.
"Bila mana (polis) hendak menggunakan kekerasan, akan ada penilaian terhadap situasi (dengan penambahbaikan itu," katanya.
Bercakap dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri hari ini, beliau juga berkata draf berkenaan akan dikemukakan kepada menteri dalam negeri untuk kelulusan.
Katanya lagi, tindakan itu melalui bidang kuasa ketua polis negara bawah Seksyen 97 Akta Polis.
Ditanya sekiranya jawatankuasa itu juga akan meneliti prosedur untuk penguatkuasa lain, Abu Seman berkata setakat ini mereka hanya akan meneliti IGSO sahaja.
