Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perhimpunan 'Melayu Bangkit' di KT 'lesu'
Diterbitkan:  Jun 14, 2010 10:25 AM
Dikemaskini: Jun 15, 2010 2:22 AM

Kira-kira 1,000 orang membanjiri perhimpunan kontroversi 'Melayu Bangkit' di Stadium Negeri Kuala Terengganu yang dibatalkan sebelum ini, setelah dipertikaikan banyak pihak sebagai perkauman.

Program anjuran Gerakan Tindakan Rakyat (GERTAK) - gabungan 45 NGO Melayu di Terengganu - yang bermula padajam 10 pagi di stadium negeri itu antaranya dihadiri mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Kehadiran Ahmad yang tidak pernah dimaklumkan sebelum ini adalah di luar dugaan.

Dalam majlis penuh istiadat Melayu itu, ketibaan kedua-dua tetamu disambut dengan paluang gendang silat dan persembahan pencak silat oleh dua pasangan pesilat lelaki dan wanita.

Antara NGO yang menonjol dalam program itu ialah Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) yang tampil dalam pakaian seragam hijau muda, membawa bendera persatuan dan berlilit kepala bertulis dua kalimah syahadah.

Perhimpunan tersebut berjalan aman tanpa sebarang insiden. Kelihatan hanya kira-kira 10 anggota polis berpakaian seragam mundar-mandir mengawal keadaan dalam stadium tertutup tersebut.

Program tersebut turut diserikan dengan persembahan daripada aktivis seni daripada Kumpulan Teater Orang Ulu Ibrahim Taib dengan bacaan sajaknya dalam loghat Hulu Terengganu pekat yang mencuit hati.

Sajak tersebut, antaranya menyebut, Melayu perlu kuat dan memimpin dunia supaya dapat "tentukan anggota JKKK (Jawatankuasa Keselamtan dan Kemajuan Kampung) di Israel", "jadikan Obama kelasi kapal" dan "lantik Bush sebagai tok siak di masjid untuk sapu tahi cicak".

Persetujuan nenek moyang

Sementara itu, dalam ucapannya pengasas dan presiden GERTAK Razali Idris mengecam mereka yang mengkritik perhimpunan tersebut - yang pada mulanya dijadual pada 13 Mei lalu - serta kehadiran Dr Mahathir.

"Kita dituduh, difitnah. Ada yang kata Dr Mahathir sebagai rasis. Tuduhlah, tempat tidak penting pada kita. Yang penting adalah ucapan Dr Mahathir.

"Kaum lain tidak perlu risau kerana kita bukan hendak bangkit dengan senjata atau pemusnah tetapi (secara) matang dalam perjuangan," katanya.

Razali mengakhiri ucapannya dengan menggesa mereka yang hadir supaya bangkit mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan Raja Melayu.

"Perkara ini sudah dipersetujui sejak nenek moyang kita dahulu," katanya disusul laungan takbir tiga kali, tetapi malangnya tidak disahut orang ramai yang hadir.

Razali hanya berucap ringkas tidak sampai sepuluh minit dalam program itu bagi memberikan laluan kepada Dr Mahathir yang disifatkan sebagai "negarawan" bagi menyampaikan ucapannya.

Antara NGO lain yang bergabung dalam GERTAK ialah PEWARIS, Gerakan Belia 4B, Sahabat Laut Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA).

Dr Mahathir pula dalam ucapannya berkata pembatalan perhimpunan itu pada 13 Mei lalu adalah disebabkan oleh fikiran singkat sesetengah pihak yang bimbang perhimpunan orang Melayu itu diadakan pada tarikh berlakunya rusuhan kaum pada 1969.

Setelah bersurai, kira-kira 50 orang sempat berkumpul pantas bagi melaungkan di perkarangan stadium itu sambil melaungkan slogan anti-Israel yang menyerang flotila pro-Palestin baru-baru ini.

ADS