Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam usaha untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikecam hebat oleh rakyat berhubung isu lesen judi sukan Kumpulan Berjaya, PPP hari ini mengambil pendirian yang sama dengan MCA, iaitu kelulusan berkenaan mesti diimbangi dengan peraturan yang ketat.

najib razak and m kayveas "Sebab utama bagi memberi lesen judi adalah untuk memastikan pertaruhan haram disekat dan bagi memastikan orang ramai tidak menjadi mangsa kepada sindiket judi haram, yang sehingga kini tidak berjaya dibanteras,” kata presiden PPP, Datuk M Kayveas pada ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan parti itu pagi ini yang turut dihadiri oleh Najib.

"Negara kita telah lama membiarkan beberapa pertaruhan dan loteri dijalankan. Malah, tempat perjudian utama adalah di Genting Highlands.

"Hanya bdengan penguatkuasaan yang ketat, kita akan pastikan rakan-rakan Islam tidak terbabit dengan judi yang diberikan lesen itu,” katanya.

Diskaun 10 peratus

Kayveas pada ucapannya juga meminta diskaun 10 peratus bagi pembelian hartanah diberikan kepada golongan bukan bumiputera yang mempunyai pendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Pada masa ini, semua bumiputera tanpa mengira status kemampuan mereka menikmati potongan 10 peratus apabila mereka membeli rumah. Tindakan afirmatif kerajaan itu bertujuan mengalakan bumiputera memiliki rumah.

"Dengan cara ini, adalah diyakini setiap warga Malaysia akan lebih percaya dan menaruh harapan sepenuhnya kepada pelaksanaan sistem kuota dan sistem status," kata beliau dalam ucapan dasarnya.

Kayveas juga mencadangkan agar bajet untuk pendidikan ditambah setiap tahun sejajar dengan pertambahan jumlah penduduk termasuk jumlah pelajar lulus cemerlang dalam SPM yang semakin meningkat.

Kayveas berkata sambutan kepada tawaran 80 peratus saham Maika Holdings Bhd adalah tidak begitu menggalakkan dan sehubungan itu, kerajaan mungkin boleh campur tangan dengan membayar 20 peratus lagi untuk sekurang-kurangnya menjadikannya saham nilai tara kepada lebih 60,000 pemegang sahamnya.

Pada 2 Mei lalu, satu notis bersyarat tawaran mengambil alih telah diberikan kepada lembaga pengarah Maika bagi memaklumkan niat G Team Resources untuk memperoleh semua saham-saham Maika.

   

Rasional penawaran itu untuk mengembalikan kepada pemegang-pemegang saham Maika kos pelaburan dalam syarikat pada asas tawaran harga asas tunai 80 sen bagi saham Maika yang dimiliki.

Kayveas juga berkata bahawa PPP tidak akan menyusahkan kepimpinan Najib dengan menimbulkan isu-isu remeh temeh dan berharap Perdana Menteri akan meneruskan dasar responsif dengan rakyat.

"Dalam masa yang sama PPP akan terus menawarkan kaedah berpolitik yang sesuai untuk rakyat berbilang kaum di Malaysia," katanya.

Beliau juga ‘merayu’ kepada Najib untuk mencari jalan bagi membantu masyarakat India di negara ini bagi mencapai tiga peratus ekuiti yang dijanjikan sejak negara mencapai kemerdekaannya 53 tahun lalu.

[Baca berita penuh]

ADS