Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan permit Suara Keadilan diputuskan esok
Diterbitkan:  Jun 30, 2010 7:53 PM
Dikemaskini: 11:54 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan mesyuarat esok bagi memutuskan status permit akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan, yang tamat hari ini.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks Al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab Samad, berkata Jawatankuasa Mengkaji dan Menilai Permohonan Permit Penerbitan dan Lesen Mesin Cetak yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam, akan meneliti dan memproses permohonan pembaharuan permit akhbar berkenaan.

Zaitun berkata, permohonan permit Suara Keadilan itu akan bergantung kepada penelitian KDN terhadap surat tunjuk sebab akhbar berkenaan berhubung artikel yang dikeluarkan mengenai isu "FELDA Bankrap" serta rekod penerbitannya sebelum ini.

"Kita tidak mengambil satu insiden ini sahaja. Ia sebenarnya hanya kebetulan. Sebelum ini Suara Keadilan banyak juga menyiarkan artikel yang menjadi 'perhatian' KDN.

"Justeru, kita akan kaji status permit akhbar ini dan seterusnya dikemukakan untuk pertimbangan dan keputusan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein)," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Zaitun berkata permit Suara Keadilan sebelum ini, pernah digantung selama tiga bulan pada penghujung 2008.

Beliau berkata dalam mengendalikan permit, KDN membahagikan akhbar kepada tiga kategori iaitu akhbar harian/mingguan, tabloid dan suara berita parti politik.

"Kementerian mengamalkan dasar sama rata dan saksama bagi semua jenis dan bentuk penerbitan. Peruntukan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 menyebut syarat penerbitan serta garis panduan yang dikeluarkan adalah berkuat kuasa bagi semua jenis penerbitan sama ada akhbar, tabloid atau surat berita parti politik.

"Cuma bagi surat berita parti politik, syarat tambahan dikenakan iaitu mestilah diedar di kalangan ahli parti dan markas parti sahaja," katanya sambil menambah Suara Keadilan, Harakah dan Roket termasuk dalam kategori surat berita parti politik.

Zaitun turut meminta orang ramai menghubungi KDN jika melihat atau mendapati surat berita parti politik dijual di tempat awam termasuk di kedai runcit.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS