Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz: Felda jadi sasaran kerana ia kekuatan BN
Diterbitkan:  Jul 5, 2010 8:25 PM
Dikemaskini: 12:34 PM

Kejayaan Felda meningkatkan sosio ekonomi bumiputera telah menjadi satu kekuatan kepada BN dan perkembangan itu merupakan sebab kenapa ia menjadi sasaran akhbar lidah rasmi PKR, Suara Keadilan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.

Katanya, laporan bertajuk "Felda Bankrap" itu bermotifkan politik dan ia benar-benar tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

    

"Felda merupakan antara institusi yang begitu berjaya dan mempunyai dana tunai yang begitu besar, sehingga ia mampu melabur dalam projek yang besar-besar dan terus memberi faedah kepada warga Felda yang semakin besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Adventure Kayak Race (AKAR) Jerlun di ibunegara hari ini.

    

Katanya Felda, yang dimulakan semasa era perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, sejak itu telah menjadi satu benteng bagi BN.

    

"Felda telah banyak membantu orang Melayu dan ia menjadi satu kekuatan kepada BN, sebab itu mereka menjadikan institusi itu sebagai sasaran," kata Mukhriz.

    

Permohonan pembaharuan permit Suara Keadilan itu patut ditolak atau ia diberikan amaran agar mesej jelas dapat disebarkan bahawa bahawa laporan berita yang bertanggungjawab diperlukan bagi mengekalkan kebebasan akhbar, katanya.

Mukhriz, yang juga anggota parlimen Jerlun juga menyokong langkah Felda bagi menyaman RM200 juta dan mendapatkan permohonan maaf daripada PKR.

    

Sementara itu, Mukhris berkata hanya separuh daripada kandungan tulisan penulis blog Raja Petra Kamaruddin berdasarkan fakta, manakala selebihnya sengaja ditokok tambah.

Katanya, perkara itu diakui sendiri Raja Petra, yang juga dikenali sebagai RPK, dalam perjumpaan mereka beberapa tahun lepas.

   

"Beberapa tahun lepas, saya bertanya kepadanya tentang beberapa laporan yang beliau tulis. Saya tanya 'dari mana anda dapat fakta berkenaan' dan berkata secara selamba bahawa rencana tulisannya hanya mengandungi 40 peratus fakta dan selebihnya beliau tokok tambah," kata Mukhriz.

Oleh itu, katanya, beliau membuat andaian bahawa rencana lain tulisan Raja Petra juga adalah sama tarafnya.

   

Mukhriz berkata, beliau percaya penulis blog itu dibiayai sebuah dana atau yayasan dan PKR mempunyai hubungan dengannya.

   

"Sepanjang pengetahuan saya, berdasarkan cara hidup beliau, RPK seorang yang cukup simple, tapi apabila beliau mampu tinggal di pangsapuri di London selama beberapa bulan, tentu ada sumber yang membiayainya," kata beliau.

- Bernama

ADS