Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO bantah persidangan FBI di KL
Diterbitkan:  Jul 16, 2010 3:41 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang mewakili organisasi pertubuhan awam,  membantah sekeras-kerasnya Persidangan FBI National Academy Associates Asia Pasifik (FBINAA) ke-13 di Kuala Lumpur pada 18 hingga 23 Julai ini.

Setiausaha agungnya, Azmi Abdul Hamid mendakwa FBI atau Biro Siasatan Persekutuan, merupakan cabang militan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan hegemoni ke atas negara lain.

"Adalah amat memalukan pegawai kanan polis kita bekerjasama dengan polis AS yang menyeksa umat Islam di Amerika Syarikat, membunuh orang awam yang tidak berdosa di Afghanistan dan Iraq, dan mengintip umat Islam yang memperjuangkan keadilan dan kebebasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

NONE Menurutnya, National Academy melatih pegawai kanan polis dari Amerika serta mereka dari luar Amerika, termasuklah dari Malaysia, Indonesia, Mesir, Arab Saudi, Israel dan lain-lain negera.

"Walaupun latihannya terang-terang untuk memajukan kepakaran penguatkuasaan undang-undang, ia juga menyampaikan maklumat kepada pelatih persepsi Amerika berhubung isu global.

"Contohnya, pelatih akan diasak dengan kepentingan dan keperluan untuk memerangi keganasan global. Pergerakan Pembebasan Kebangsaan seperti Hezbollah, Hamas dan penentangan terhadap penduduk Amerika di Afghanistan dikategorikan sebagai pengganas.

"Menurut lamanweb FBI, pelatih akan dibawa untuk mengunjungi Muzium Holocaust di Washington DC sebagai ‘komponen moral dan etika untuk latihan.’ Sudah tentu agenda tersembunyi ini adalah untuk melahirkan simpati untuk Zionis, mengesahkan penubuhan Israel di tanah Palestindan untuk mewajarkan dasar pro-Israel oleh Amerika," tambahnya.

Kunjungan itu, menurut Azmi, dilakukan dengan kerjasama 'Anti-Defamation League', pertubuhan Zionis yang menganggap kritikan terhadap pendudukan oleh Israel dan kekejamannya sebagai anti-Semitik.

"Latihan pegawai kanan polis di National Academy merupakan sebahagian daripada dasar Amerika untuk mempengaruhi mereka yang berada dalam kedudukan penting di dalam institusi penting seperti polis, tentera, kehakiman, parlimen, NGO yang akan menjaga kepentingan AS.

"Di Iraq dan Afghanistan pihak FBI telah melatih beratus pegawai yang akan memastikan negara itu terus menjadi pengikut kepada Amerika apabila tenteranya meninggalkan negara itu," katanya.

Menurut Azmi lagi, tumpuan AS di wilayah ini kini adalah terhadap Indonesia, yang mempunyai penduduk Islam paling ramai, dijangka memainkan peranan penting dalam hal ehwal antarabangsa dalam masa terdekat.

"Kami merasa amat terkejut memandangkan kesengsaraan dan penderitaan saudara-saudara kita tidak menyentuh perasaan pegawai kanan polis kita. Bagaimana mereka boleh bekerjasama dan meraikannya dengan mereka yang menimbulkan kekacauan di dunia Islam?

"Kami menggesa kerajaan menghentikan segera persidangan FBINAA dan tidak menghantar pegawai polis atau tentera untuk mendapat latihan di AS. Sebagai ganti mereka boleh dilatih di negara lain seperti India, Sweden, Iran dan lain-lain negara yang tidak mempunyai agenda hegemoni," tegas Azmi.

ADS