Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KSSB nafi dakwaan Noh, sedia SPRM siasat
Diterbitkan:  Jul 18, 2010 11:36 PM
Dikemaskini: Jul 19, 2010 2:11 AM

Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), sebuah anak syarikat kerajaan negeri Selangor, hari ini menolak dakwaan kononnya wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih dalam penjualan pasir kepada kontraktor.

    

KSSB berkata pemberian diskaun kepada mana-mana pelanggan yang membeli pasir secara pukal adalah amalan biasa dalam perniagaan bagi meningkatkan jualan.

    

Syarikat itu berkata demikian dalam kenyataan bagi mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar bahawa ada bukti menunjukkan wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh syarikat itu dalam penjualan pasir kepada syarikat kontraktor.

Kenyataan KSSB itu dikeluarkan bersama oleh Pengerusi KSSB, Abdul Shukor Nagor, Ketua Pegawai Eksekutif Ir Ramli Abdul Majed dan ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan, lapor Bernama.

    

Menurut kenyataan itu, semua tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan pelbagai pihak terhadap KSSB akan dibincangkan dan ditangani ketika sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) dalam masa terdekat.

    

"Malah, kami juga mengalu-alukan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjalankan siasatan," katanya.

    

Dalam sidang media semalam, Noh mendakwa sebuah syarikat diberikan diskaun sebanyak 22 peratus atau RM4 bagi pembelian satu tan pasir yang berharga RM17.50 sementara syarikat lain hanya diberi potongan 50 sen sahaja bagi setiap tan pasir yang dibeli.

     

Beliau juga mendakwa KSSB turut memberi kemudahan kredit kepada sebuah syarikat dan lima kontraktor untuk mengorek pasir pasir tanpa perlu membayar deposit.

ADS