Tanpa berlengah, timbalan ketua perhubungan Umno negeri Datuk Noh Omar memulakan ceramahnya dalam kempen "Selamatkan Selangor" lewat malam tadi dengan menjelaskan soal hubungannya dengan Datuk Seri Mohd Khir Toyo yang kini dikatakan berada dalam konflik.
Dalam pada itu juga, beliau turut mengambil peluang untuk menghentam ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei yang bertanggungjawab membangkitkan isu konflik di antara Noh dan Mohd Khir.
"Shuhaimi ni. Siapa dia? Wakil rakyat (kawasan sini) sini ke? Kasihan... SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pun belum selesai siasat dia, hendak laga-lagakan saya dengan Datuk Khir Toyo pula," kata Noh ( atas ) dalam ucapannya.
Menyentuh isu pasir yang menjadi modal utama bagi ceramah di Taman Sri Andalas, Klang itu, Noh kemudiannya membangkitkan mengapa hanya syarikat tertentu sahaja diberikan lesen untuk melombong pasir di negeri itu.
'KSSB sisih bumiputera'
Beliau menimbulkan persoalan tersebut bagi menangkis dakwaan yang ditimbulkan setiausaha publisiti DAP Tony Pua semalam bahawa Umno mengetengahkan isu pasir apabila tidak lagi mendapat habuan daripada kroni mereka dalam industri perlombongan tersebut.
Noh mendakwa, syarikat milik bumiputera itu disisihkan daripada mendapat peluang melombong daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) kerana pemilihan tidak dibuat secara telus.
"Syarikat (Bumiputera) inilah yang patut dibantu. Kita bantu (sebelum ini). Tapi bila kita buat demikian, dia kata kita mementingkan kroni pula.
"Tapi bila mereka memerintah (Selangor), mereka buat lebih teruk lagi," katanya lagi dalam ceramah yang dihadiri seramai kira-kira 500 orang itu.
Dalam serangan balasnya itu juga, Noh mendakwa syarikat yang mendapat lesen melombong pula mungkin dinaungi oleh pemimpin PKR tertentu
"Mungkin ada pemimpin PKR tertentu yang di belakang syarikat ini... Mungkin syarikat ini yang agih keuntungan kepada mereka," katanya.
Ezam: Wujud rasuah dalam BN
Seorang lagi penceramah, Ezam Mohd Nor dalam ucapannya selepas itu bagaimanapun tidak menafikan wujudnya rasuah dalam pentadbiran BN.
"Saya tidak kata semua pemimpin BN tidak rasuah... Tapi tidak semua. Kalau ada rasuah pun, setidak-tidaknya BN sudah memerintah lebih 50 tahun.
"Tapi mereka (Pakatan Rakyat Selangor) baru naik angkat sumpah, sudah ada yang kena tangkap," kata Ezam yang dilantik sebagai senator Dewan Negara selepas menyertai Umno pada Mei 2008 lalu.
Selain Ezam, turut berucap di ceramah yang diadakan di dewan komuniti ituialah ADUN Kuang Shukor Idrus dan juga ketua bahagian Umno Kota Raja Kamaruzzaman Johari.
Turut hadir ialah dua lagi ADUN Umno - Satim Diman (Sri Serdang) dan juga Datuk Abdul Rahman Palil (Sementa), selain beberapa pemimpin parti komponen BN di kawasan itu yang digelar sebagai "bakal wira dalam pilihan raya umum akan datang" oleh pengerusi majlis.
