Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam semalam menghadiri majlis doa selamat dan kesyukuran sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-57 di Seri Perdana di Putrajaya.
Majlis turut diraikan isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan dua orang anak mereka Nooryana Najwa dan Nor Ashman Razak.
Bonda Najib, Tun Rahah Mohd Noah, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut hadir bersama menteri-menteri kabinet, menteri besar, ketua menteri, pemimpin Umno dan komponen BN yang lain.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Maghrib, diikuti bacaan doa selamat dan tahlil, sembahyang Isyak dan seterusnya sembahyang hajat.
Tetamu kemudiannya diraikan pada majlis makan malam di mana Najib memotong pulut kuning dengan diiringi nyanyian selamat hari jadi daripada jemputan.
- Bernama
