Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
FDI rendah tidak semestinya tidak baik, kata adik PM
Diterbitkan:  Jul 26, 2010 8:52 PM
Dikemaskini: Jul 27, 2010 2:05 AM

Malaysia tidak seharusnya terlalu bimbang mengenai lebih banyak pelaburan dari negara ini mengalir masuk ke negara-negara lain berbanding jumlah pelaburan asing langsung (FDI) yang memasuki negara, demikian menurut tokoh bank terkemuka hari ini.

Beliau yang juga pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Bank, Datuk Seri Nazir Razak berkata aliran pelaburan bersih yang rendah tidak semestinya tidak baik.

    

Sebaliknya, Malaysia sepatutnya menganalisis data berkenaan.

"Apabila kita melihat data itu, kita jangan terlalu cepat buat kesimpulan. Kita perlu lihat kepada kualiti pelaburan dan masa pelaburan itu dibuat," kata beliau kepada pemberita di luar mesyuarat agung luar biasa CIMB Group di ibunegara hari ini.

    

Nazir berkata demikian sebagai mengulas laporan yang dikeluarkan oleh Persidangan Mengenai Perdagangan dan Pelaburan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) mengenai aliran masuk global pelaburan asing langsung.

    

UNCTAD dalam Laporan Pelaburan Asing Dunia 2010 (WIR) menyatakan yang pelaburan asing langsung Malaysia merosot 81 peratus kepada US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada 2009 daripada US$7.32 bilion (RM23.47 bilion) pada 2008.

Nazir berkata aliran masuk FDI yang rendah mungkin boleh disebabkan oleh penangguhan dalam beberapa projek dan pelaburan seberang laut Malaysia yang banyak yang juga boleh menjejaskan jumlah bersih.

    

Sebagai contohnya, beliau berkata yang Kumpulan CIMB Bank dan Maybank mempunyai pelaburan besar di Indonesia.

    

"Ia bukannya sesuatu yang tidak baik. Ia adalah perkara yang baik kerana dalam tempoh jangka panjang, ia akan memberi manfaat kepada Malaysia," kata beliau sambil menambah yang apabila bank melabur di seberang laut, ia mempunyai ganjaran kepada Malaysia.

    

"Jadi, saya rasa kita tidak sepatutnya teruja dengan data pelaburan yang telah dikeluarkan. Untuk mengelakkan salah tanggapan, Malaysia seharusnya melalui proses menganalisis data," tambahnya.

- Bernama

ADS