Parti Progresif Rakyat (PPP) hari ini mempersoalkan muslihat sebenar DAP yang membangkitkan isu hak istimewa kaum bumiputera yang menurut PPP, dilindungi oleh perlembagaan persekutuan.
"(Ahli parlimen Petaling Jaya Utara) Tony Pua tidak seharusnya menyentuh hak istimewa kaum bumiputera di negara ini yang terlindung dalam perlembagaan persekutuan dan ini seolah-olah mengacum isu perkauman," kata Ketua Penerangan PPP, Datuk A Chandrakumanan
"Apakah rasional Tony Pua meminta kerajaan Selangor menghapuskan dasar pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor?" soal Chandrakumnan dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, DAP harus sensitif terhadap hak keistimewaan kaum bumiputera seperti yang ternyata dalam perlembagaan persekutuan.
"Dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula menyokong cadangan tersebut, hanya semata-mata kerana agenda politik beliau.
"Adakah (Tan Sri) Khalid rela untuk mengorbankan hak istimewanya sebagai seorang bumiputera demi untuk kawan pembangkangnya?" soalnya lagi.
Chandrakumnan mendakwa, kenyataan Tony Pua yang akan menjadikan jutaan kaum bumiputera sebagai mangsa, demi untuk agenda politiknya, harus dibantah.
"Kaum bumiputera di Selangor kini sudah mengetahui sifatnya dan pastinya kaum bumiputera akan kehilangan hak istimewa mereka jika pihak pembangkang terus memerinta Selangor," tambahnya.
Sebaliknya, katanya, hak istimewa kaum bumiputera tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia dilindungi dalam perlembagaan persekutuan.
"Tindakan Tan Sri Khalid seolah-olah menjual negara sendiri, dianggap sebagai pengkhianat kepada kaum bumiputera di Selangor, memang tidak dapat diampunkan.
"Khalid seharusnya mencari jalan penyelesaian untuk mengekang kumpulan yang menyalahgunakan hak istimewa yang diperuntukkan kepada kaum bumiputera dan seterusnya membantah cadangan DAP dan bukannya menjadi hipokrit," tegas Chandrakumnan.