• Bakun: Koperasi untuk pekebun kecil
  • 1280540990
  • Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengenal pasti penubuhan koperasi dan pembinaan jalan-jalan ladang sebagai usaha membantu pekebun-pekebun kecil di kawasan penempatan semula Sungai Asap, Bakun di Belaga.

    Menterinya Tan Sri Bernard Dompok berkata cadangan penubuhan koperasi untuk pekebun kecil itu dapat membantu dalam penyaluran maklumat tepat dari agensi kerajaan berkaitan serta meningkatkan kecekapan pengurusan ladang yang diusahakan.

    Penubuhan koperasi ini juga akan membolehkan mereka membeli keperluan perladangan secara pukal dan seterusnya dapat menurunkan kos operasi, katanya semasa berucap dalam majlis bersama pekebun-pekebun kecil di Rumah Panjang Uma Belor Leodian di Sungai Asap di Belaga, semalam.

    Katanya cadangan juga telah dibuat supaya lebih banyak jalan ladang dibuat di kawasan penempatan semula ini mengikut Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10). Beliau berkata ramai penduduk di kawasan ini menghadapi masalah memajukan lot tanah pertanian yang diperuntukkan kepada mereka ekoran kedudukan lot itu yang agak jauh dan tidak mempunyai jalan masuk untuk kenderaan.

    Dompok berkata beliau akan berbincang dengan Anggota Parlimen Hulu Rajang, Datuk Billy Abit Joo bagi mendapatkan maklumat terperinci berkenaan lot-lot tanah pertanian yang amat memerlukan jalan ladang berkenaan.

    Billy Abit yang berucap sebelum itu berkata kerajaan Sarawak telah memperuntukkan lot seluas kira-kira 1.2 hektar setiap satu itu sebagai sebahagian daripada pampasan kepada penduduk yang dipindahkan pada tahun 1998 bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek Hidroelektrik Bakun.

    Selain itu kerajaan negeri juga telah membina 15 buah rumah panjang baru di kawasan penempatan semula Sungai Asap untuk kira-kira 1,500 buah keluarga yang terlibat dalam proses perpindahan itu.

    Penduduk terlibat telah mengusahakan penanaman koko, getah, kelapa sawit, lada hitam dan beberapa tanaman lain di lot yang diperuntukkan untuk menyara hidup mereka.

    Masalah timbul apabila terdapat keluarga yang diperuntukkan dengan lot tanah pertanian yang terletak agak jauh dari rumah panjang mereka dan tidak mempunyai jalan masuk yang menyukarkan mereka mengangkut hasil tanaman, katanya.

    --Bernama