Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Politik wang: Adun Beserah terima keputusan MT
Published:  Mar 31, 2001 5:12 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah Datuk Fauzi Abdul Rahman menerima dengan senang hati keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk menyiasat dakwaan politik wang dan penyelewengan kerajaan Pahang.

"Tindakan yang saya buat itu ialah untuk membuka mata pemimpin-pemimpin Umno terhadap penyelewengan, sogokan dan rasuah," katanya kepada agensi berita nasional Bernama malam ini.

Dalam mesyuarat kira-kira empat jam petang tadi, MT memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa sementara (ad-hoc) bagi menyiasat dakwaan Fauzi dalam laporan polisnya Rabu lalu.

Dalam aduan itu, beliau mendakwa Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob, mengagihkan kawasan balak tanpa mengikut kuota yang ditetapkan Dasar Perhutanan Negara ketika menjawat Menteri Besar Pahang antara 1986 hingga 1999.

Dakwaan tentang amalan politik wang di bahagiannya Kuantan juga dilaporkan akan disiasat. Fauzi dipercayai membangkitkan isu itu dalam surat peletakan jawatannya yang diserahkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob semalam.

MT turut memutuskan untuk menangguhkan mesyuarat bahagian itu sehingga siasatan itu selesai.

"Semasa penyiasatan ini dijalankan, mesyuarat Umno bahagian Kuantan akan ditangguhkan," kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar selepas mesyuarat MT itu di Kuala Lumpur.

Menurut laman web rasmi parti itu hari ini, siasatan itu akan dibuat secepat mungkin dan semua pihak terlibat diminta bekerjasama dengan memberikan bukti-bukti yang jelas supaya tindakan boleh diambil ke atas mereka yang terlibat seperti didakwa.

"Jawatankuasa khas ini akan ditubuhkan di bawah Lembaga Disiplin parti. Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh orang-orang yang 'neutral' (berkecuali) yang tidak mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu," katanya.

Dr Mahathir juga berkata Umno tidak mahu Fauzi melepaskan jawatan itu tetapi pada masa yang sama tidak akan membuat "paksaan" untuk mengubah fikiran Adun itu.

Malaysiakini difahamkan semalam Fauzi diminta menarik semula tindakannya membuat laporan polis terhadap Khalil dan menyerahkan surat peletakan jawatan Adun.

ADS