Tiga lelaki yang juga ahli jawatankuasa sebuah kuil di Puchong hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan membunuh adik peguam Datuk VK Lingam.
DK Sara vanan, 29, A Thayalan, dan M Devidasan yang masing-masing berumur 30 tahun, dituduh bersama-sama membunuh V Rajendram ( kiri ), 52, di Kuil Audiyar Muniswara, Jalan Puteri, Bandar Puteri, Puchong, di antara jam 9.30 malam, 2 Ogos dan 12.05 tengah malam, 3 Ogos.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Ghulam dan semua tertuduh hanya mengangguk sebagai tanda faham.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan. Semua tertuduh diwakili peguam bela P Sutheswary,
Mohmad Ibrahim kemudian menetapkan 23 Sept depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya.
Pada 3 Ogos lalu, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tujuh adik-beradik, ditemui mati kira-kira jam 3 pagi di sebuah stesen minyak di Bandar Puteri Puchong selepas dipercayai dipukul tiga lelaki di sebuah kuil.