Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jambatan Perlis-Langkawi antara pelaburan RM130 bilion
Diterbitkan:  Aug 20, 2010 5:18 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Cadangan pembinaan jambatan sejauh 48 kilometer menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis merupakan antara beberapa projek bernilai RM130 bilion yang ingin dibangunkan oleh dua buah syarikat di negeri ini.

Pengerusi Eksekutif Juruelit Sdn Bhd, Kamarudin Husin berkata hari ini pihaknya mempunyai kemampuan dana yang mencukupi untuk melaksanakan projek itu, yang akan dilaksanakan sekali dengan pembinaan jambatan monorel.

Sehubungan itu, beliau berkata, Juruelit Sdn Bhd, yang akan bekerja sama dengan Kalammas Sdn Bhd, akan mengemukakan cadangan pada September ini kepada kerajaan Perlis bagi pembinaan beberapa projek besar yang diberi nama RoyalWestern Coastal Coridor (RWCC).

Beliau berkata fokus cadangan itu ialah untuk membangunkan Kuala Perlis sebagai lokasi perdagangan yang moden.

Menurutnya, syarikat itu juga bersedia melaksanakan projek tebus guna pantai dan mewujudkan dua pulau buatan yang setiap satu berkeluasan lima kilometer persegi berhampiran Kuala Perlis.

Jika direalisasikan, kedua-dua pulau itu akan mengandungi pelabuhan moden, kawasan perumahan dan industri berteknologi tinggi.

"Kami juga sedang melihat potensi di wang Kelian, Bukit Putih dan Padang Besar," katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman mengenai dana RWCC bernilai RM130 bilion itu di Kangar hari ini.

Juruelit Sdn Bhd diwakili Kamarudin manakala Kalamas Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Raden Mas Hilmi Mat Som menandatangani memorandum itu di sebuah hotel di Kangar.

Sementara itu, Raden Mas Hilmi berkata, pihaknya yang berpengalaman dalam bidang pembinaan dan sebagai pemaju yakin mampu melaksanakan projek yang dicadangkan itu di Perlis.

"Kami mempunyai kewangan yang kukuh dan berkeupayaan melaksanakan pembangunan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah bersedia untuk membentang projek RWCC kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan.

--Bernama

ADS