Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kompleks mahkamah dipecah, fail digeledah
Diterbitkan:  Aug 23, 2010 6:26 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Empat pejabat termasuk bilik hakim dan majistret di Kompleks Mahkamah Seremban dipecah masuk penjenayah yang dipercayai turut menggeledah beberapa fail mahkamah pada cuti hujung minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan ACP Mohd Zaki Masroh berkata  insiden itu disedari kakitangan mahkamah yang melihat keadaan mencurigakan pada semua bilik Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret tersebut, kira-kira jam 7 pagi tadi.

"Laporan polis kemudian dibuat oleh pihak berkaitan. Siasatan awal mendapati sekurang-kurangnya lima pejabat yang berada di tingkat satu premis terbabit dipecah masuk penjenayah. Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan suspek lebih daripada seorang dan mereka bertindak memecahkan tombol tingkap cermin untuk memasuki pejabat berkenaan," katanya di Seremban.

Beliau berkata polis yang menjalankan pemeriksaan menemui beberapa kertas yang mempunyai kesan koyak dan sedang menyiasat sama ada wujud kehilangan barang atau fail mahkamah.

Selain itu, kita belum mengenalpasti fail mahkamah yang dikoyakkan dan kes apa, tambah beliau.

Bagi tujuan siasatan, katanya soal siasat akan dijalankan terhadap pengawal keselamatan yang bertugas pada hujung minggu lepas dan masih menunggu maklumat daripada kakitangan mahkamah mengenai kehilangan barang.

"Kita turut menolak unsur samun dalam kejadian ini kerana beberapa barangan berharga termasuk komputer riba tidak dilarikan," kata Mohd Zaki.

Kataya polis dapat mengesan tujuh kesan cap jari di dalam pejabat yang dipecah masuk dan sedang menunggu laporan selanjutnya untuk mengenalpasti suspek terbabit.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

- Bernama

ADS