Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk Langkawi juga tolak jambatan
Diterbitkan:  Aug 24, 2010 1:48 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Pelbagai pihak termasuk penduduk Langkawi berharap cadangan projek pembinaan jambatan menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis tidak diteruskan kerana dikhuatiri memberi kesan kepada pulau itu sebagai destinasi pelancongan.

Mereka menyokong kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak bersetuju dengan cadangan projek pembinaan jambatan itu kerana ia akan menjejaskan kecantikan dan keunikan pulau peranginan itu.

Anggota Parlimen Langkawi Datuk Abu Bakar Taib berkata pembinaan jambatan itu akan menimbulkan kesesakan kenderaan berikutan kemasukan kereta dari tanah besar.

Beliau berkata kenderaan yang sedia ada sudah banyak dan jika kenderaan luar datang keadaan akan bertambah sesak, dan boleh memberi kesan kepada kehadiran pelancong ke pulau peranginan itu.

"Kedudukan Langkawi sebagai pulau perlu dikekal dan kita tidak mahu kecantikannya terjejas," katanya selepas menyampaikan sumbangan moreh Amanah Saham Anak Langkawi (Asal) kepada beberapa masjid dan surau di Langkawi.

Dua syarikat di Perlis telah mencadangkan untuk membina jambatan sejauh 48 kilometer menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis.

Jumaat lepas, Pengerusi Eksekutif Juruelit Sdn Bhd Kamarudin Husin berkata pihaknya mempunyai kemampuan dana yang mencukupi untuk melaksanakan projek itu termasuk pembinaan jambatan monorel.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Kuala Melaka Fadzil Din juga tidak setuju dengan pembinaan jambatan berkenaan.

"Kami mahu Langkawi terus kekal seperti sekarang, tanpa ada pembinaan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata dengan adanya jambatan, pelancong mungkin tidak menginap di Langkawi sebaliknya pulang menerusi jambatan itu, yang akhirnya akan menjejaskan industri pelancongan di pulau peranginan itu.

--Bernama

ADS