Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peti simpanan dipecah: Saman pelanggan ditolak
Diterbitkan:  Aug 25, 2010 3:23 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman menuntut ganti rugi seorang pelanggan peti simpanan keselamatan Public Bank Berhad yang dipecah masuk dalam kecurian di sebuah cawangannya di Seri Kembangan, Selangor pada cuti Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali empat tahun lalu.

Hakim Datuk Balia Yusoff Wahi dalam penghakimannya setelah mendapati defenden tidak melakukan sebarang kecuaian seperti yang didakwa oleh plaintif menolak saman itu dan memerintahkan Wong Lee Hal, 46, membayar kos guaman kepada Public Bank

Berhad.

Balia berkata dakwaan bahawa bank gagal melindungi cawangannya daripada dipecah masuk pada 24 Okt 2006 tidak dapat dibuktikan kerana mengikut keterangan pembantu pengurus cawangan bank itu, beliau telah mengaktifkan sistem penggera sebelum beliau meninggalkan bank.

Katanya lagi pihak bank juga ternyata menyediakan sistem keselamatan yang terbaik dengan memasang beberapa alat penggera keselamatan dan ia dapat dikesan, sekiranya dipecah masuk, di ibu pejabat syarikat keselamatan.

"Pihak plaintif tidak sediakan secara spesifik apa yang dikatakan kecuaian. Mengikut butir (pernyataan) plaintif, beliau mendakwa pihak defendan gagal buktikan ada pengawal keselamatan bertugas.

"Memang defendan tidak menggaji pengawal keselamatan kerana mereka berpendapat penggunaan sistem penggera jauh lebih baik dan lebih efektif daripada pengawal keselamatan. Ini kerana, menurut pengurus syarikat keselamatan, ada kajian yang menunjukkan penggunaan sekuriti keselamatan tidak efektif sebab selalu tidur dan letih," katanya.

Sepanjang perbicaraan pihak plaintif memanggil dua orang saksi dan defendan tujuh saksi.

Pada 20 Nov 2006, dalam pernyataan tuntutannya, Wong menjelaskan beliau mula menyewa peti simpanan keselamatan di bank itu pada 12 Jan lalu dengan bayaran sewa sebanyak RM145 setahun.

Wanita itu mendakwa pada 26 Okt 2006, semasa beliau bersama keluarga bercuti ke Australia dan New Zealand, seorang pegawai bank itu telah menelefonnya dan memberitahu bahawa peti simpanan keselamatannya telah dipecah berikutan satu kejadian kecurian di cawangan bank itu di bangunan MCA, Seri Kembangan, iaitu pada hari cuti Hari Deepavali dan Hari Raya.

 Wong berkata dia sangat terkejut, bimbang dan risau dengan berita itu kerana banyak barang-barang berharga seperti barang kemas, wang tunai dan dokumen-dokumen pentingnya disimpan dalam peti itu.

Katanya antara barang kemas itu ialah cincin dan rantai tangan

perkahwinannya, rantai, gelang jed, batu permata, anting-anting dan wang tunai, yang semuanya berjumlah RM200,000.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada Januari 2007, Public Bank Berhad mendakwa mereka telah memasang sistem keselamatan yang lebih daripada mencukupi di cawangan bank itu.

Menurut bank itu, rompakan itu dilakukan oleh profesional yang sangat mahir.

Ia menafikan bahawa kerugian itu akibat daripada tindakan, peninggalan dan kelalaiannya sendiri seperti yang didakwa oleh Wong.

Public Bank berkata Wong terikat kepada terma dan syarat seperti yang terkandung dalam perjanjian yang ditandatanganinya dengan bank pada 12 Jan 2005 kerana menyewa peti simpanan keselamatan itu.

Perjanjian itu menyatakan bahawa Wong memikul tanggungjawab untuk mendapatkan pelindungan insurans dan menjaga sendiri daripada sebarang kehilangan memandangkan bank tidak mengetahui kandungan serta nilai barangan yang disimpan dalam peti itu.

Bank itu berkata ia hanya menyewakan peti berkenaan sebagai khidmat kepada pelanggan dan meminta mahkamah menolak saman itu.

Dalam kejadian pecah masuk itu, sebanyak 92 daripada 708 peti keselamatan telah dipecahkan.

- Bernama

ADS