Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan pendiriannya berhubung dasar meritokrasi yang bakal menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Menurut bekas perdana menteri itu, ekonomi negara tetap mencatat pertumbuhan, malah lebih daripada negara membangun yang lain ketika DEB diamalkan.
"Jadi anda tidak boleh kata DEB menjadi halangan (kepada pertumbuhan ekonomi)," katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara hari ini.
Tambahnya, beliau telah memaklumkan pendiriannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dasar meritokrasi yang dipelopori bekas perdana menteri itu.
Katanya lagi, beliau berhak membuat kritikan seperti itu, namun pendapatnya tidak semestinya betul.
Beliau ditanya berhubung kritikannya ke atas pelaksanaan Model Ekonomi Baru.
Model berkenaan bertujuan membangunkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi melalui pendekatan lebih inklusif berdasarkan merit.
Tambahnya, perbezaan pendapat seperti itu merupakan perkara biasa, malah beliau juga menerima kritikan seumpama itu ketika menjadi perdana menteri.
Dalam pada itu, mengulas sokongan yang semakin meningkat kepada kumpulan pendesak seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Mahathir berkata perkembangan itu disebabkan kegagalan Umno dalam mempertahankan hak warga bumiputera.
Peningkatan pengaruh pertubuhan itu juga menyebabkan ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengugut untuk keluar daripada parti sekiranya Umno menyokong PERKASA.
Mengulas ugutan tersebut, Mahathir bagaimanapun sekadar berkata: "Itu dia punya pasallah."
