Dr M: Lempar najis kerja orang bodoh

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia patut menyuarakan protes terhadap tindakan warga Indonesia melancarkan siri demonstrasi sejak minggu lalu.

Namun, menurut mantan perdaan menteri itu, Malaysia tidak boleh bertindak liar seperti yang ditunjukkan dalam protes oleh warga Indonesia di depan kedutaan Malaysia di Jakarta.

NONEBeliau menyifatkan tindakan kumpulan berkenaan yang turut melemparkan najis dan membakar bendera Malaysia itu sebagai perbuatan "orang bodoh"

"Orang ini dia tidak ada pelajaran, dia bodoh. Sebab itu dia buat semacam itu," katanya ketika ditemui wartawan di Masjid Negara hari ini.

"(Perbuatan peserta demonstrasi Indonesia) perkara kecil tapi kita tidak sepatutnya buat semacam itu. Kita tak boleh buat terlalu garang. Kita boleh protes tapi tidak tidak boleh buat seperti itu," katanya yang menganjurkan supaya protes dijalankan secara baik.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai bentuk reaksi yang sepatutnya diambil oleh warga Malaysia sebagai tindak balas kepada protes yang dijalankan di Indonesia.

Sementara itu, menteri luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini dilaporkan berkata, kabinet negara ini telah mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dan meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan bersikap rasional dengan mengelakkan kejadian yang sama berlaku di negara ini.

NONEProtes berkenaan berlarutan semenjak insiden penangkapan tiga pegawai kementerian kelautan dan perikanan Indonesia pada pertengahan bulan ini.

Insiden di perairan sempadan Malaysia-Indonesia berhampiran Kepulauan Riau itu berlaku ekoran tindakan pegawai penguatkuasa laut Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia, didakwa mencerobohi perairan negara itu.

Semua tahanan yang terlibat dalam insiden berkenaan bagaimanapun telah dibebaskan oleh kedua-dua agensi penguatkuasa berkenaan.

 


 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.