Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Simbah cat di surau: Tiga juvana mengaku salah
Diterbitkan:  Aug 27, 2010 5:29 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Tiga remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di Serembani, hari ini terhadap pertuduhan berkaitan insiden menyimbah cat dan melemparkan botol minuman keras di sebuah surau di Taman Pulai Impian, Sikamat, Isnin lalu.

Tertuduh pertama berumur 17 tahun, tertuduh kedua berumur 15 tahun dan tertuduh ketiga berumur 16 tahun yang berasal dari sekitar Ulu Temiang dan Sikamat di Seremban didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 3 pagi hingga 4 pagi, 23 Ogos lalu.

azlan Dalam pertuduhan pertama, ketiga-tiga remaja didakwa melakukan khianat dengan membaling botol di surau tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh kedua dan ketiga didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat di surau yang sama.

Bagi setiap pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh pertama turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat melakukan kesalahan menyimbah cat di surau terbabit mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ikat jamin

Majistret M Mageshwary membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dan menetapkan 22 September sebagai tarikh sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan akhlak ketiga-tiga remaja itu.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Lee Kong Fei manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahmud Abdullah.

Semalam, keluarga remaja yang ditahan berhubung kes simbah cat dan baling botol arak di surau berkenaan memohon maaf kepada masyarakat Islam atas perbuatan anak mereka.

Cheng Kok Foo, 38; Wong Seow Wai, 43; Loh Teck Ai, 53 dan Leong Foong Kuen, 53, masing-masing memohon maaf dan bersalaman dengan pengerusi jawatankuasa surau itu, Mohd Hasbi Ismail, dalam satu pertemuan anjuran MCA Negeri Sembilan di surau itu.

Turut hadir, pengerusi MCA Negeri Sembilan, Datuk Dr Yeow Chai Thiam dan ketua Umno Cawangan Taman Panchor Jaya, Arshad Jawi.

Ibu bapa kepada empat suspek itu memohon maaf kepada seluruh umat Islam, khasnya di taman perumahan itu, di atas perbuatan anak mereka yang telah menyinggung perasaan umat Islam.

Mereka melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan kejadian itu yang mereka anggap sebagai satu kesalahan besar.

Mohd Hasbi pula berkata, beliau dengan rasa hati terbuka menerima permohonan maaf itu.

ADS