• PAS: Pemimpin Umno/BN panaskan suasana politik
  • 1283312390
  • PAS bersetuju dengan  kenyataan perdana menteri sempena kemerdekaan negara ke-53 bahawa masyarakat tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan, dirosakkan oleh budaya kejumudan serta sikap melampau menerusi isu perkauman dan agama.

    pas muktamar 130610 idris ahmad"Kenyataan ini perlu ditujukan kepada pemimpin Umno dan BN yang sering mengeluarkan kenyataan yang memanaskan suasana politik seperti panasnya cuaca di negara pada hari ini," kata ketua penerangannya, Idris Ahmad.

    "Sebenarnya suasana politik negara ini menjadi panas selepas keputusan pilihan raya umum 2008, apabila BN tidak mendapat sokongan dua pertiga di Parlimen dan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang," katanya dalam satu kenyataan.

    "Beberapa siri demo dan provokasi (berlaku) seperti demo di Pulau Pinang pada 14 Mac 2008 kononnya YAB Lim Guan Eng hendak hapus Dasar Ekonomi Baru; demo di Perak pada 16 Mac 2008 kononnya kerajaan Pakatan Rakyat menindas orang Melayu, demo pijak kepala lembu, sehinggalah yang terakhir ucapan seorang pengetua sekolah di Kulai Jaya Johor dan guru di Bukit Selambau, Kedah.

    "Sebenarnya ini berlaku adalah kerana Umno/BN tidak boleh belajar menjadi orang kalah. Ditambah pula kenyataan dan tindakan PERKASA yang  memanaskan suasana politik di negara ini," tegas Idris.

    Begitu juga, katanya, tindakan melampau dalam agama seperti pembakaran gereja ketika isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam, dan peristiwa kepala babi dilemparkan di dalam Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun Petaling Jaya Selatan.

    "Mutakhir ini isu doa untuk memberi hidayah kepada YAB Lim Guan Eng telah digambarkan,  kononnya, Lim mengganti Yang di-Pertuan Agong, semuanya ini bertujuan untuk menanamkan prejudis  di kalangan rakyat di negara ini," katanya.

    NONEIdris mendakwa, Umno sekali lagi bersikap memperalatkan agama untuk kepentingan politik dalam isu lawatan ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda Kajang pada 22 Ogos 2010.

    "(Dengan) membuat fitnah bahawa YB Teo memberi tazkirah dan  memberi bantuan kepada ahli PAS. Sedangkan apa yang berlaku ialah beliau memberi derma RM1,000 kepada surau dan memberi taklimat berkenaan skim pendidikan kerajaan Selangor," tambahnya.

    Idris juga mempersoalkan mengapa Umno tidak pernah marah selama ini, kerana ada di kalangan wakil rakyat bukan Islam dari kalangan BN yang datang ke surau/masjid.

    Sehubungan itu, katanya, PAS menganggap negara menyambut kemerdekaan ke-53 dalam suasana yang agak suram dengan sentimen perkauman dan tindakan melampau dalam agama yang menurutnya dilakukan oleh pimpinan Umno.

    Sepatutnya, tegas Idris lagi, negara yang sudah mencapai umur kematangan setelah mencapai merdeka.

    NONE"Tetapi apa yang berlaku ialah keadaan seolah-olah negara baru sahaja mencapai lima tahun merdeka. Ini adalah gambaran bahawa BN gagal memupuk perpaduan nasional di kalangan rakyat di negara ini.

    "Sepatutnya perkara ini tidak berlaku, kerana ia akan memberi gambaran buruk kepada generasi selepas merdeka. PAS sebagai sebuah parti yang berpegang dengan prinsip Islam, akan sentiasa bergerak di atas landasan agama.

    "Walaupun kadang-kadang Umno melihat PAS pelik, kerana tidak menyokong tindakan Umno, seperti isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam dan isu orang bukan Islam masuk masjid atau surau.

    "Perlu diingat pemimpin PAS ada kemampuan untuk merujuk satu hukum berdasarkan ilmu yang Allah kurniakan. PAS tidak mahu tindakan yang dilakukan oleh pemimpin Umno menjauhkan orang bukan Islam dengan Islam," tegas Idris.