Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kedudukan Supp dalam BN: Presiden jumpa PM
Diterbitkan:  Sep 4, 2010 2:29 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Supp) Tan Sri Dr George Chan setakat ini enggan mendedahkan hasil pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini berhubung kedudukan parti tersebut dalam BN Sarawak.

george chan supp 031106 Beliau berkata butiran pertemuan itu hanya akan didedahkan selepas berbincang dengan pemimpin utama Supp yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Tidak boleh beritahu anda (apa yang berlaku pada pertemuan tersebut) sekarang, tetapi jangan bimbang, anda akan tahu juga tidak lama lagi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-45 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak di Miri.

Dr Chan, yang juga timbalan ketua menteri Sarawak, bagaimanapun menyifatkan pertemuannya dengan Perdana Menteri sebagai "sangat baik dan berhasil".

 

Supp, parti politik tertua Sarawak, menjadi perhatian beberapa minggu kebelakangan ini berikutan khabar angin yang menyatakan ia mahu meninggalkan BN Sarawak namun kekal sebagai parti komponen BN di peringkat persekutuan.

NONE Ura-ura itu timbul selepas sesetengah anggota akar umbinya berpendirian  tiada gunanya Supp berada dalam BN Sarawak jika isu yang dihadapi masyarakat Cina di negeri itu masih tidak dapat diselesaikan.

Pada pilihan raya negeri lalu pada 2006, Supp kalah lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginya.

Parti tersebut turut gagal mempertahankan kerusi parlimen Sibu pada pilihan raya kecil baru-baru ini di kawasan yang dianggap kubu kuat Supp sebelum ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS