Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akar umbi S'gor saran Anwar, Azizah teraju PKR
Diterbitkan:  Sep 9, 2010 3:26 PM
Dikemaskini: Sep 13, 2010 1:31 AM

Sekumpulan pemimpin akar umbi PKR yang mengelar diri mereka sebagai Majlis Muafakat Kepimpinan Keadilan Negeri Selangor (MMKKNS) mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden PKR  pada November ini.

azlan Timbalan pengerusinya Abdul Kudus Omar berkata langkah itu bagi mengatasi kemelut dalam perebutan jawatan timbalan presiden yang semakin panas di antara Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim.

"Dengan ini calon-calon yang telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden hendaklah menarik diri," kata Abdul Kudus ketika membaca kenyataan media bagi pihak pengerusi, Syed Shahir Syed Mahamud.

"Kami juga berpendirian bahawa mencalon dan memilih mereka berdua bukanlah bermakna kita mahu menyuburkan amalan nepotisme dalam parti tetapi dilakukan atas pertimbangan menjaga keharmonian dan kemantapan parti," katanya pada sidang media, di Petaling Jaya hari ini.

Dasar nepotisme

"Saya ingin tegaskan kami bukan menggalakkan dasar nepotisme dalam parti. Dalam isu ini ia bukan di antara Anwar Ibrahim dan isterinya tetapi di antara dua orang tokoh yang telah diuji.

NONE “Cuma secara kebetulan Azizah adalah isteri kepada seorang manusia hebat bernama Anwar. Azizah pula adalah satu manusia cemerlang, telah terbukti kemampuannya memimpin sebuah parti walaupun baru dan tidak besar tetapi ia telah mencapai kejayaan yang belum ada tolok bandingnya," jelas Abdul Kudus yang juga ketua cabang Tanjung Karang.

Bagaimanapun katanya, jika saranan itu tidak diterima, majlis itu menyarankan agar status quo untuk kedua-dua jawatan tertinggi PKR dikekalkan iaitu Azizah sebagai presiden dan Syed Husin Ali sebagai timbalannya.

"Dengan cara ini kami yakin kemelut pertandingan jawatan timbalan presiden akan dapat diselesaikan.

NONE Beliau juga berkata dakwaan bahawa kononnya Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim telah memporak-perandakan parti itu sebagai tidak benar.

"Kami tidak menyelar beliau dan tidak nampak dia memporak-perandakan parti cuma kita mahukan satu cara yang lebih teratur dan lebih terpelihara dari sudut sopan dan santun.

Bagaimanapun beliau melihat amalan pertandingan merebut jawatan dalam sebuah parti adalah sesuatu yang sihat.

"Itu hak mereka. Kita parti yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya tetapi kami berkeyakinan mereka juga adalah tokoh-tokoh yang berpengalaman. Kami pasti mereka akan mengambil keputusan yang bakal memberi keuntungan dan faedah kepada semua pihak terutamanya parti. Kami tahu mereka mementingkan kepentingan parti, mendahulukan parti daripada diri sendiri.

Kata putus

"Ini menjadi petanda baik. 'Everybody explore their own channel' dan pasti nanti kita akan dapat satu cara yang paling baik. Kami mengharapkan inilah cara yang terbaik," ujar Abdul Kudus lagi.

NONE Beliau juga ditanya samada cadangkan MMKKNS akan memberi kesan kepada keputusan Syed Husin terhadap jawatanya sebagai timbalan presiden.

"Kalau kita melihat dahulu Dr Syed Husin ( kiri ) ada memberi petanda mungkin beliau mahu berundur tetapi kebelakangan ini beliau hanya berdiam diri. Ini menunjukkan kematangannya kerana beliau mahu melihat keadaan sebelum membuat keputusan muktamad. Beliau mahu melihat di sekeliling dulu sebelum beri kata putus," kata beliau.

Abdul Kudus juga tidak melihat sebarang masalah dalam pertandingan merebut jawatan naib presiden.

"Bagi jawatan naib presiden kami rasa tidak menjadi isu besar kerana calon-calon yang menyandang dan juga yang baru adalah daripada kalangan yang berfikiran dingin, mudah diatur. Tidak ada masalah langsung dan kami yakin mereka berlapang dada apabila menawarkan diri menjadi calon," katanya.

Beliau berkata MMKKNS berpendapat usaha strategis perlu dilakukan bagi mmastikan proses pemilihan kepimpinan parti dapat dilaksanakan secara demokratik dan harmonis serta dapat memperkasa perpaduan dan kejituan parti.

ADS