Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP baru janji beri khidmat terbaik
Diterbitkan:  Sep 13, 2010 2:09 PM
Dikemaskini: 6:12 AM

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar yang memulakan tugasnya hari ini berjanji akan memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat dan negara dengan berpaksikan undang-undang dan bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya.

Beliau berkata tanggungjawab berat yang digalasnya memerlukan sokongan dan kerjasama erat daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam merealisasikan objektif PDRM berlandas Akta Polis Perkara 3 (3).

azlan "Tidak ada seorang KPN yang mampu menjalankan tugasnya sendirian dengan kudrat yang ada tanpa bantuan dan sokongan dari pegawai dan seluruh anggota.

"Saya melihat kepada lapan KPN sebelum ini di mana mereka mampu menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik, dan saya yakin mampu melakukan perkara yang sama dengan bantuan dan sokongan semua pihak," katanya ketika berucap pada majlis serah terima tugas timbalan ketua polis negara di mes pegawai Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail berkata pada hari pertama memulakan tugas, beliau akan bertemu empat mata dengan semua pengarah, timbalan pengarah dan ketua polis negeri.

Terdahulu, Ismail menandatangani serah terima tugas jawatannya sebelum ini kepada pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Hussin Ismail yang dilantik sebagai Timbalan KPN.

Serah terima tugas itu disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Kementerian Dalam Negeri Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap.

Hussin dalam ucapannya berkata beliau akan memberi sokongan penuh kepada KPN dalam melaksanakan dasar dan strategi serta pelan yang dirancang.

"Saya akan menggalas cabaran baru ini dengan penuh komited untuk seluruh pasukan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu KPN," katanya.

Ismail, 57, dilantik  sebagai KPN menggantikan Tan Sri Musa Hassan yang tamat kontraknya semalam selepas berkhidmat selama 41 tahun dalam pasukan.

Pelantikan Ismail sebagai KPN dan Hussin, 57, sebagai timbalan KPN diumumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 1 Sept lalu.

- Bernama

ADS