Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyeru Umno supaya tidak menakut-nakutkan warga Pulau Pinang dengan dakwaan kerajaan negeri menipu berhubung sumber kewangannya bagi membiayai program membantu golongan miskin termasuk untuk masyarakat Islam.

"Umno sepatutnya lebih ke hadapan dalam isu ini, bukannya bersikap jumud dan terkebelakang," katanya pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

"Sudahlah mereka miskin, kita persalahkan mereka. Saya nak sebut kepada rayat Pulau Pinang tak payah susah hati. (Umno) janganlah nak takutkan orang kampung, jangan kata doa tak makbul atau (fikiran) sudah benak sebab makan dari sumber haram.

"Sekiranya semua transaksi bantuan dipersoalkan sumbernya, tidak ada lagi wang yang bukan daripada sumber haram. Setiap duit yang kita terima itu tentulah pernah digunakan untuk kegiatan lain.

"Apa yang jadi pertikaian bukanlah duit contohnya RM50 daripada hasil judi itu, tapi nilainya. Apabila diterima, nilainya adalah sumbangan daripada hasil judi, tapi bila ia disalurkan kepada orang miskin, nilainya adalah bantuan,"

Sebaliknya, Dr Mohd Asri berkata, perkara yang perlu dipertikaikan dalam isu pemberian bantuan orang miskin daripada hasil judi ialah promosi kepada syarikat judi yang menghulurkan sumbangan kepada kerajaan.

Katanya, keadaan itu boleh dilihat melalui liputan melalui media yang memperbesar-besarkan sumbangan yang diberikan oleh syarikat judi kepada kerajaan.

Cukai satu hukuman

"Kita tanggung dosa bila biarkan aktiviti judi atau lakukan tindakan seakan-akan memuliakan judi, sedangkan aktiviti seperti itu sepatutnya direndah-rendahkan.

"Promosi seperti itu juga seperti memberi galakan kepada perjudian. Saya pernah tengok (laporan) di majlis penyampaian sumbangan, ada ahli politik yang naik ke pentas terima cek besar daripada syarikat judi ini.

"Sepatutnya sumbangan ini diberikan senyap-senyap, tidak mengapa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, cukai yang dikutip daripada syarikat judi sebagai hasil kerajaan juga tidak semestinya menerima nilai judi itu sendiri.

"Sedikit sebayak, cukai yang dikenakan ke atas syarikat itu juga adalah satu bentuk hukuman kepada mereka," katanya lagi.

Dr Mohd Asri juga berkata para ulama pula kini masih berbeza pandangan sama ada hasil daripada riba yang diperolehi kerajaan adalah halal atau haram.

"Setahu saya tidak ada. Pada masa saya (jadi mufti) tidak pernah ada mesyuarat (Majlis Fatwa Kebangsaan) untuk putuskan perkara ini," katanya lagi ketika ditanya.

Nabi terima hadiah Yahudi

Tambahnya, pandangan seperti yang dikemukakan ulama terkenal antarabangsa Dr Yusuf al-Qardhawi pula menyebut, hasil daripada riba seperti perjudian itu boleh digunakan untuk membantu orang miskin memandangkan nilai yang diberikan itu atas nama sumbangan.

"Bukannya ia diberikan atas nama hasil judi. Contohnya ada kawan hendak belanja kita kerana dia menang judi, tidak boleh kerana itu meraikan judi.

"Tapi kalau orang bukan Islam sekalipun belanja kita makan dan beri kita ang pau, tidak mengapa kerana dia hendak belanja," tambahnya.

Katanya lagi, Nabi Muhammad sendiri pernah menerima hadiah daripada orang Yahudi dan juga daripada pemerintah Rom.

"Buktinya, memang tidak salah jika hendak mengambil apa yang hak kita. Nabi mengambil hadiah daripada orang Yahudi walaupun nabi tahu orang Yahudi menjalankan kegiatan (ekonomi) riba dan pemerintah Rom terlibat dengan kezaliman," katanya.

Jelasnya, baginda tidak menerima nilai riba atau kezaliman tersebut tetapi nilai sumbangan berkenaan.

ADS