Tasik Kenyir kawasan bebas cukai 2012

   

Terengganu akan maju setapak lagi apabila tasik buatan manusia, Tasik Kenyir di Hulu Terengganu akan menjadi kawasan bebas cukai mulai tahun 2012.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata Tasik Kenyir akan menjadi tarikan kepada lebih ramai lagi pelancong dengan pengwujudan kawasan bebas cukai itu.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Kuala Terengganu hari ini, beliau berkata Tasik Kenyir yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai kawasan bebas cukai minggu lalu akan diwartakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk menyediakan kompleks bebas cukai, kompleks kastam dan sebagainya.

Selain itu, 300 unit chalet dan hotel bertaraf tiga hingga lima bintang akan dibina bagi memudahkan pelancong menginap di Tasik Kenyir.

Katanya, untuk tujuan itu juga kerajaan negeri akan menyambung bekalan elektrik dari Kampung Kepah ke Pulau Bayas di Hulu Terengganu dengan kos kira-kira RM27 juta.

Ahmad berkata, dengan adanya beberapa daya tarikan pelancong di Tasik Kenyir seperti taman burung, taman rama-rama, taman gajah dan lain-lain akan lebih menarik perhatian pelancong.

"Tambahan pula, dengan siapnya Lebuhraya Pantai Timur (LPT) akan memudahkan lagi pelancong datang ke Tasik Kenyir," katanya.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In