Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB jamin pemilihan cabang Kuala S'gor selamat
Diterbitkan:  Sep 29, 2010 9:11 PM
Dikemaskini: Sep 30, 2010 2:26 AM

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata semua langkah perlu telah diambil bagi memastikan keselamatan semua pihak yang hadir dalam pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor, Ahad ini.

    

Khalid yang juga ketua cabang itu berkata selain menambah jumlah sukarelawan untuk melicinkan proses pemilihan, bilangan perwakilan yang membuang undi dalam satu-satu masa juga dihadkan.

    

"Semua orang akan selamat," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Shah Alam hari ini.

    

Beliau diminta mengulas mengenai persediaan cabang terbabit selepas berlaku kekecohan dalam pemilihan di beberapa cabang parti tersebut pada Ahad lepas.

Khalid yang mempertahankan jawatannya menerima tentangan tiga calon lain termasuk dua bekas pemimpin cabang tersebut.

Mereka ialah bekas ketua Wanita Fauziah Sulaiman, bekas ketua penerangan AMK Mazli Saring dan bekas guru Muhammad Kamil Vaanan Abdullah.

    

Sementara itu, pegawai penyelaras pejabat kerja DUN Ijok Abdul Rahman Talib ketika dihubungi berkata pihaknya telah memaklumkan mengenai pemilihan itu kepada polis Kuala Selangor sebagai langkah berjaga-jaga.

    

Selain itu katanya, mereka juga akan meminta bantuan anggota RELA bagi menjaga peti undi.

    

Seramai 6,218 anggota cabang tersebut layak mengundi dalam pemilihan berkenaan.

    

Ahad lepas, pemilihan di empat cabang iaitu Klang, Kota Raja, Kuala Langat dan Kapar kecoh selepas perwakilan tidak berpuas hati dengan cara pemilihan dijalankan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS