Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Minum arak: Buruh dikenakan 6 sebatan
Diterbitkan:  Sep 30, 2010 6:54 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 ke atas seorang buruh atas tuduhan meminum arak di khalayak ramai di Kuantan pada Februari lalu.

Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas Mohamed Rezzal Mohamed Yussof, 24, mengekalkan pengakuan bersalah walaupun mahkamah telah memberikan masa untuk dia melantik peguam.

Abdul Rahman juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama satu tahun sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, Mohamed Rezzal didakwa minum arak berjenama Tiger dalam tin minuman dengan isipadu 350 mililiter (ml) di tempat letak kereta di bumbung pusat beli-belah Kuantan Parade di Kuantan pada jam 5.30 petang, 13 Februari lalu ketika sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang mengadakan operasi penguatkuasaan.

Tertuduh yang memilih untuk tidak diwakili peguam syarie dituduh mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya beserta sebatan maksimum enam kali.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS