Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
70 lagi warga emas pulang semula wang ehsan
Diterbitkan:  Oct 2, 2010 7:27 PM
Dikemaskini: 11:28 AM

Seramai 70 lagi warga emas dari Bayan Baru di sini telah memutuskan untuk memulangkan semula wang ehsan RM100 yang diterima dari kerajaan negeri selepas curiga dengan sumber wang yang mungkin datang dari kegiatan perjudian, lapor Bernama .

    

Habsah Said, 81, dari Permatang Damar Laut, berkata beliau kecewa dan terkejut apabila mendapat tahu bahawa program menghargai warga emas anjuran kerajaan negeri itu diperoleh daripada kegiatan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

    

"Bagi orang Islam, kami tidak dibenarkan menerima wang daripada sumber yang dilarang dan ia dianggap sebagai "duit haram" yang mana kami buat keputusan untuk memulangkannya semula," katanya pada satu sidang akhbar yang dibuat oleh Ketua Umno Bahagian Bayan Baru Datuk Abdul Rahim Saibu di George Town, hari ini.

    

Katanya beliau menerima wang itu sebelum ini kerana berpendapat ia sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi menghargai golongan warga emas.

    

Seorang lagi warga emas Zainab Abu Bakar, 67, dari Kampung Melayu, berkata beliau memutuskan untuk memulangkan wang itu kepada kerajaan negeri secara sukarela.

    

"Saya tak boleh terima wang itu kerana ia diperoleh daripada kegiatan perjudian dan kerana itu ia dianggap duit haram," katanya.

    

Sebelum ini, kira-kira 50 warga emas memilih untuk memberikan wang itu kepada Umno Bayan Baru sebelum ini untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri manakala 20 lagi hadir pada hari ini untuk berbuat demikian.

    

Bagaimanapun, Abdul Rahim mahu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abdul Kassim supaya meletak jawatannya, atas kegagalan memaklumkan orang ramai sebelum mengagihkan dana itu.

    

"Sebagai Exco Agama, Abdul Malik gagal menunaikan tanggungjawabnya dan oleh itu beliau perlu meletakkan jawatan," katanya sambil menambah bahawa Umno Pulau Pinang akan mengembalikan wang itu secara rasmi kepada kerajaan negeri tidak lama lagi.

    

Khamis lepas, sembilan warga emas dari Bertam dan Pinang Tunggal di Seberang Perai memulangkan semula wang RM100 kepada kerajaan negeri selepas mendapati bahawa wang itu diperoleh dari sumber haram.

    

Baru-baru ini, Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dipetik sebagai berkata bahawa beliau menerima menerima sepucuk surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri dan dialamatkan kepada seorang pegawai kelab itu yang memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menerima RM500,000 baki daripada sumbangan daripada kelab itu.

    

Pengundi Pulau Pinang yang berumur 60 tahun ke atas yang telah mendaftar dalam program itu layak mendapat bantuan RM100 setahun manakala waris mereka akan menerima RM1,000 selepas kematian mereka.

- Bernama

ADS