Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Datuk Zaid Ibrahim menawar untuk mengundurkan dirinya daripada bertanding jawatan timbalan presiden PKR jika Nurul Izzah Anwar turut menyertainya.

NONE “Saya difahamkan bahawa beliau berminat untuk bertanding timbalan presiden. Jika beliau benar-benar serius, saya sedia tarik diri dan bantunya dalam pertandingan ini.

“Tetapi jika beliau berpendapat saya sepatutnya bertanding mana-mana jawatan lain, saya juga bersedia menandinginya,” katanya dalam sidang media di rumahnya di Petaling Jaya, hari ini.

Zaid berkata, beliau bersedia ‘melakukan apa yang terdaya’ bagi membantu usaha Nurul Izzah menyertai pucuk pimpinan parti.

"Saya melihat Nurul sebagai satu nafas baru dalam parti, orang muda yang boleh menarik keahlian baru yang lebih dinamik dan profesional, saya akan menyokong dan membantu beliau serta tidak akan merumitkan peluang beliau menang," katanya.

Ditanya sama ada kemungkinan beliau akan menerima pencalonan bertanding jawatan presiden parti, Zaid memilih tidak menjawab. Jika ini berlaku, Zaid akan mencabar penyandangnya, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga adalah ibu Nurul Izzah.

"Saya juga ingin menerangkan di sini bahawa ini tidak bererti saya tetap tidak akan bertanding apa-apa jawatan. Kalau dia (Nurul Izzah) tak nak bertanding, saya akan bertanding...jawatan apa bergantung...mungkin lebih tinggi daripada timbalan presiden," katanya.

Mohon restu

“Tetapi saya harap presiden akan memberikan restu kepada anaknya itu,” kata Zaid.

azlan Menurut Zaid, Nurul Izzah layak bertanding jawatan timbalan presiden dengan tiga pencalonan manakala dirinya mempunyai ‘empat atau lima’ pencalonan untuk jawatan presiden.

Sementara itu Zaid berkata tuduhan bahawa beliau adalah ‘kuda trojan’ yang digunakan bagi menghancurkan PKR sebagai mengarut.

"Tunjukkan bukti! Ini seperti mendakwa saya di sebalik belakang dakwaan Rahimi. Ini tak benar,” katanya merujuk kepada sidang media kontroversial semalam, oleh bekas pembantu ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Rahimi membuat laporan polis semalam mendakwa dia dipaksa membuat akuan bersumpah yang memalit dan mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan perbicaraan liwat yang membabitkan Anwar yang sedang berlangsung.

Zaid juga melahirkan rasa kecewa terhadap fitnah yang dilemparkan serta serangan ke atas peribadinya oleh kepimpinan tertinggi parti itu yang dilihat semakin berleluasa sekarang.

"Apa yang saya kecewa dengan perkembangan ini ialah ini semua fitnah dan pembohongan, saya bukan masuk PKR untuk menjayakan politik kotor ini atau politik yang berasaskan perkara yang karut ini," katanya.

Keluar parti

Ditanya mengenai ura-ura beliau akan keluar parti, Zaid berkata sudah tentu beliau kecewa tapi beliau masih mempunyai rakan dalam parti dan juga penyokong yang mahu melihatnya berada dalam barisan kepimpinan.

Sementara itu, Zaid berkata beliau tidak akan mempedulikan larangan parti itu untuk memboikot media tertentu khususnya akhbar Utusan Malaysia.

"Keputusan parti yang nak boikot akhbar ini, bukan dasar yang baik, berapa orang kita nak boikot? Kalau kita tak gunakan media bagaimana kita nak berkomunikasi dan bagi pandangan?

azlan "Kita boikot Utusan (Malaysia) tetapi kenapa tidak Berita Harian, NST (New Straits Times), MCA?" katanya.

Pada 3 Oktober lalu, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di London, memberi amaran agar calon yang bertanding pada pemilihan PKR tidak menggunakan 'media milik Umno' yang dilabelnya sebagai musuh Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution pula pada sidang akhbarnya, semalam mengingatkan anggota parti itu agar terus memulaukan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

ADS