Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid Ibrahim tanding timbalan presiden PKR
Diterbitkan:  Oct 10, 2010 9:39 PM
Dikemaskini: Oct 11, 2010 4:04 AM

Tan Sri Khalid Ibrahim akhirnya mengumumkan bertanding jawatan timbalan presiden PKR.

"Saya, Abdul Khalid bin Ibrahim, hari ini dengan rasminnya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Keadilan Rakyat yang akan berlangsung pada November ini," katanya.

Ini bermakna, beliau akan bersaing dengan dua naib presiden sekarang Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub dan Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim untuk kerusi nombor dua itu.

Manakala ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Pengarah Strategi PKR Tian Chua yang sudah cukup dua pencalonan minumum untuk bertanding belum membuat sebarang pengumuman sama ada menyertai persaiangan itu atau pun tidak.

Mengumumkan keputusan itu di hadapan 300 penyokong dan pemimpin cabang di kediaman rasmi menteri besar di Shah Alam sebentar tadi, Khalid berkata keputusan itu diambil ekoran pemilihan PKR "yang banyak menerima persepsi negatif dalam laporan media dan dalam parti".

Menurut beliau, perkara tersebut, antaranya kepimpinan berpuak dan serangan peribadi yang perlu diperbetulkan.

"Sebagai salah seorang pemimpin parti dan Menteri Besar negeri Pakatan Rakyat, saya akan cuba memperbetulkan keadaan ini.

"Dan kerana inilah, saya mengambil keputusan untuk bertanding jawatan nombor dua dalam parti," katanya.

Khalid juga berkata, bagi memastikan keputusannya bertanding memberi kesan positif kepada parti, beliau menubuhkan jawatankuasa khas untuk menilai kesan tawaran bertanding kepada pentadbiran dan perpaduan parti.

Jawatankuasa itu, menurutnya, terdiri daripada aktivis kesatuan sekerja Syed Shahir Syed Mohamud, Irene Fernandez, Tian Chua dan Muhamad Nur Manuty yang bebas mengadakan rundingan dengan pemimpin parti yang berkaitan sehingga 15 Oktober.

"Sekiranya jawatankuasa menasihatkan tawaran saya ini tidak baik untuk parti dan ada cara yang lebih baik untuk saya berkhidmat kepada parti, saya akan akur dengan nasihat ini," katanya.

Syed Shahir juga dilantik sebagai pengurus operasi kempen.

Sementara itu, beliau juga mengumumkan 'manifestonya' bertemakan “Memperkasakan Reformasi” yang antaranya menggariskan lima teras, iaitu: Setia kepada perjuangan, meneruskan agenda perubahan, merakyatkan ekonomi, menolak politik pecah perintah dan kesepaduan parti.

Lima itu, menurut Khalid akan mencorakkan pentadbiran inklusif dan mengakhiri amalan berkumpulan dan berpuak-puak dalam parti. 

ADS