Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ladang Rakyat' dijangka isu besar Galas
Diterbitkan:  Oct 11, 2010 12:12 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Pembukaan "Ladang Rakyat" di Hulu Kelantan dijangka menjadi isu besar untuk ditangani oleh kerajaan PAS negeri Kelantan menjelang pilihan raya kecil Galas 4 November ini kerana tanah yang terlibat didakwa diambil daripada penerokanya oleh kerajaan negeri untuk diusahakan oleh swasta.

Malahan isu berkenaan sudahpun menjadi topik utama perbualan di kedai-kedai kopi di Gua Musang walaupun penamaan bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan itu adalah pada 26 Oktober ini.

Seorang peneroka, Harun Che Anal, 61, berkata tindakan kerajaan negeri mengambil tanah itu dan diberi kepada syarikat swasta luar Kelantan bagi membangunkannya sebagai "Ladang Rakyat" telah menjejaskan masa depan penduduk setempat yang telah mengusahakan pelbagai tanaman di situ lebih dari dua dekad.

Beliau berkata tanah yang telah ditanam dengan getah dan kelapa sawit itu sudah lama mengeluarkan hasil, tetapi tanagh itu diambil oleh kerajaan negeri, walaupun ada peneroka yang telah membayar deposit bagi mendapatkan hak milik tanah itu.

"Ada pihak cuba melengah-lengahkan pemberian hak milik itu, mungkin sebagai muslihat untuk merampas tanah ini. Kami akan cuba halang daripada tanah kami dirampas," katanya kepada Bernama .

Timbalan Ketua Umno Bahagian Gua Musang Mat Yusof Abdul Ghani berkata beliau yakin PAS akan dihukum oleh pengundi pada pilihan raya kecil itu kerana tidak berlaku adil kepada rakyat.

Mat Yusof, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Nenggiri, berkata kerajaan negeri telah mengabaikan nasib penduduk yang kehilangan tempat untuk mencari rezeki.

"Terdapat ketidakadilan dalam pembahagian semula keuntungan tanah ini, sebahagian diberi (tanah) dan sebahagian tidak, walaupun rakyat telah duduk dan bercucuk tanam di situ untuk mencari rezeki sejak bertahun-tahun.

"Sudahlah hilang pendapatan, hilang pula tanah. Orang Gua Musang suka membuka tanah dan menanam getah, kelapa sawit dan buah-buahan, sepatutnya mereka diberikan geran," katanya.

Mat Yusuf berkata kerajaan negeri telah mengambil tanah tersebut dengan alasan untuk membangunkan Ladang Rakyat dan memulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk dividen serta pembangunan untuk menghapuskan kemiskinan sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pernah berkata bahawa tindakan kerajaan negeri meluluskan tanah untuk projek perladangan swasta boleh menjejaskan penduduk Orang Asli di Gua Musang.

--Bernama

ADS