Bekas ketua Semporna nafi Nurul dicalon timbalan

Abdul Rahim Sabri        

PKR cabang Semporna tidak menghantar senarai pencalonan jawatan tinggi parti kerana pegawas dari jawatankuasa pemilihan pusat (JPP)  berkata beliau sendiri akan menyerahkannya kepada ibupejabat parti, kata bekas ketua cabang tersebut, Md Abdul Wahab Abdullah.

"Kita tahu tarikh (akhir serah senarai calon pada 10 Oktober), tapi pengawas JPP kata dia akan bawa sendiri cadangan (pencalonan) ke ibupejabat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kegagalan cabang tersebut menyerahkan senarai pencalonan jawatan tinggi parti kepada ibupejabat.

Semporna juga menjadi tumpuan ekoran tersebarnya laporan yang mengatakan cabang itu mencalonkan ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden.

Bagaimanapun, Md Abdul Wahab menafikan bahawa cabang itu mencalonkan Nurul Izzah untuk jawatan tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, Semporna mencalonkan naib presiden Azmin Ali untuk bertanding jawatan timbalan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dicalon mengekalkan jawatan presiden. Antara calon naib presidennya pula ialah ketua cabang Tuaran, Ansari Abdullah dan ketua PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub.

Ditanya mengenai laporan yang menyebut bahawa cabangnya telah mencalonkan Nurul Izzah bagi jawatan timbalan, Md Abdul Wahab berkata beliau tidak tahu siapa yang bertanggungjawab membuat kenyataan tersebut.

Katanya, pengundian dibuat secara angkat tangan bagi mempercepatkan proses pemilihan tersebut.

"Pengundian itu dibuat di pejabat parti. Lebih 50 ahli hadir mengundi," tambahnya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In