Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Lebih 500 penduduk Bandar Tasik Puteri, Rawang berdemo semalam menuntut sebuah laluan dibina agar kawasan perumahan mereka dihubungkan dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (KLKSE) yang bakal siap pada pertengahan 2012.

Ini kerana, menurut semasa pembelian rumah pihak pemaju telah menjanjikan laluan tersebut termasuk menyediakan kemudahan asas antaranya dewan serbaguna dan sebuah stesen petrol.

NONE "Semua itu hanya janji tinggal janji sahaja kerana sehingga kini tiada sebarang kemudahan asas disediakan kepada penduduk yang mendiami kawasan itu dianggarkan 20,000 orang.

"Kami terpaksa mengisi minyak petrol kereta sejauh 20 kilometer terletak di Bandar Country Height," kata salah seorang penduduk, Mohd Tarmizi Kasirun,45 yang telah menghuni di kawasan berkenaan sejak tahun 2000.

Demonstrasi aman dan memorandum tuntutan kepada pemaju dilancarkan oleh ahli jawatankuasa badan bertindak KLKSE dipimpin oleh Norazman Samsudin.

Sepanjang perarakan itu, Komunitikini mendapati penduduk melaungkan kata-kata  provokasi mengkritik pihak pemaju gagal mengotakan janji  membina susur keluar yang menghubungkan kawasan perumahan itu ke lebuh raya KLKSE.

Sambil memegang poster dan kain rentang, segelintir penduduk turut berarak menggunakan motosikal sambil membunyikan hon sebagai tanda sokongan sekali gus mengakibat keadaan lalu lintas jalan raya menjadi sesak.

NONE Selepas berdemo, penduduk kemudiannya dijemput berdialog dengan pemaju AP Land Berhad, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pemegang konsesi lebuh raya itu Binapuri dan juga anggota Parlimen Selayang, William Leong

Namun, bahang matahari yang mula terasa sekitar jam 12 tengah hari itu menghangatkan lagi  suasana sepanjang sesi dialog apabila berlaku ‘perang psikologi’ antara penduduk dan wakil pihak berwajib yang berakhir sejurus azan Zohor berkumandang.

Bagaimanapun, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang sesi dialog berlangsung.

Beberapa anggota polis  ditempatkan di dataran Puteri Central Park bagi mengawal keadaan.

NONE Sementara itu, Pengarah kepada salah sebuah anak syarikat  AP Land, Datuk Nordin Razak berkata, pihaknya berjanji draf plan KLKSE  akan diserahkan kepada pihak berwajib untuk kelulusan dalam tempoh sebulan.

Menurutnya, proses pengambilan tanah bagi membinan ‘laluan’ di KLKSE perlu mengambil masa selama enam bulan kerana  berdasarkan maklumat diperolehi status tanah tersebut dimiliki syraikat lain.

“Kerja pembinaan laluan susur keluar  400 meter menghubungkan kawasan perumahan penduduk ke lebuh raya tersebut dijangka siap anggaran tempoh 2 tahun,” katanya pada majlis penerangan dan dialog bersama penduduk Bandar Tasik Puteri, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan KLKSE Berhad, Amran Amir, Jurutera Kanan KLKSE Berhad, Sheikh Ahmad Sheikh Abdul Aziz, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pemantauan Projek Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Shahril Amin Ahmad, Penolong Pengarah LLM, Burhanudin Yusof Aziz, Pengarah Projek AP Land, Lee Kok Wah serta ahli majlis MPS, Zaidy Abdul Talib.

NONE Majlis penerangan dan dialog penduduk bersama wakil daripada beberapa agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Khidmat Penduduk (JKP) Zon 24, Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Pada sidang media, selepas itu, ahli parlimen Selayang, William Leong Jee Keen menyambut baik cadangan penduduk  menubuhkan jawatankuasa penyelaras melibatkan penduduk,agensi kerajaan dan syarikat swasta bagi memantau secara terperinci dari peringkat awal sehinggalah projek berkenaan siap sepenuhnya.

Menurutnya, jawatankuasa penyelaras akan ditubuhkan dalam jangka masa terdekat  dengan mengambil kira masalah dihadapi penduduk sejak sekian lamanya.

“Kita akan adakan perjumpaan secara berkala  bersama wakil penduduk dengan semua wakil pihak berwajib yang terlibat bagi memastikan kerja pembinaan ini mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Jawatankuasa itu akan memantau kontraktor bertanggungjawab melaksanakan projek tersebut untuk mengelakkan timbulnya isu kerja pembinaan lewat daripada tarikh yang telah ditetapkan,” ujarnya.

ADS