Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Senarai rasmi calon yang layak bertanding pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), PKR termasuk sayap-sayapnya yang bermula pada 29 Oktober ini sudah dimuktamadkan.

azlan Jadual lengkap pemilihan MPP bagi cabang-cabang yang akan mengadakan pemilihan semua jawatan dalam parti telah dimuat-naik dalam laman web rasmi PKR sejak semalam.

Sebanyak 222 cabang terlibat dalam proses pemilihan MPP selama 10 hari yang diadakan setiap hujung minggu sehingga tarikh akhir pada 21 November depan.

Ini termasuk 17 cabang yang masih berstatus penaja atau belum tertubuh, juga akan memilih pucuk pimpinan pusat.

Berdasarkan jadual tersebut, pada 29 Oktober ini, sebanyak 10 cabang akan mengadakan pemilihan masing-masing - lima cabang di negeri Kelantan dan lima lagi di Kedah.

Cabang di Kelantan ialah Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Pengkalan Chepa. Manakala di Kedah pula adalah Langkawi, Kubang Pasu, Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena.

Pada hari berikutnya, 32 lagi cabang akan mengadakan pemilihan yang melibatkan enam buah negeri iaitu Pahang sebanyak tujuh cabang, Negeri Sembilan (6), Kelantan (5), Perak (9), Perlis (3) dan Kedah (2).

Pada 31 Oktober pula, 27 cabang akan mengadakan pemilihan. Ini melibatkan enam cabang di negeri Pulau Pinang, Perak (8), Pahang (7), Melaka (4) dan Negeri Sembilan (2).

Manakala pada 6 dan 7 November pula, ibu pejabat parti menetapkan sebanyak 20 cabang PKR akan mengadakan pemilihan dan semua cabang tersebut adalah di Sabah.

Sementara itu, pada 12 November, 12 cabang bakal memilih pucuk pimpinan MPP termasuk cabang Jerai dan Merbok.

Malaysiakini difahamkan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan bagi kedua-dua cabang berkenaan akan diadakan selepas Kongres Nasional berlangsung pada 26 hingga 28 November depan berdasarkan kepada permintaan cabang berkenaan.

Pada 13 dan 14 November, masing-masing sebanyak 41 dan 28 cabang antaranya di Pulau Pinang, Wilayah Pesekutuan, Johor, Terengganu, Sabah, Selangor, Melaka, Sarawak, dan Perak - akan mengadakan pemilihan MPP.

Ini termasuk dua lagi cabang yang ditangguhkan iaitu di Kuala Nerus, di Terengganu dan Parit Sulong di Johor. Mereka juga akan mesyuarat agung tahunan serta pemilihan di peringkat cabang dan MPP, masing-masing pada 13 dan 14 November.

Sementara, empat cabang di Selangor - Klang, Kapar, Subang dan Kuala Langat  - yang mana mesyuarat dan pemilihan mereka di peringkat cabang ekoran masalah teknikal akan mengadakan pemilihan MPP sahaja pada 14 November ini.

pkr congress assembly 181204 assembled members Tarikh baru bagi cabang berkenaan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan semula di peringkat cabang yang akan ditetapkan ibu pejabat parti kelak.

Ibu pejabat parti juga menetapkan cabang Petaling Jaya Selatan (PJS) dan Hulu Selangor akan mengadakan pemilihan cabang yang tertangguh bersekali dengan pemilihan MPP.

Kedua-dua cabang masing-masing akan mengadakannya pada 14 dan 20 November depan.

Manakala pada 21 November, sebanyak 37 cabang termasuk 10 cabang di Sarawak yang "terlepas tempoh untuk mengadakan pencalonan cabang seperti yang ditetapkan" bakal memilih pucuk pimpinan MPP.

Sementara itu, berdasarkan senarai rasmi yang dikeluarkan oleh ibu pejabat, seramai 132 calon menawarkan diri untuk merebut 20 tempat bagi jawatan ahli MPP.

Manakala bagi jawatan naib presiden, seramai 17 calon akan bertanding bagi merebut empat jawatan itu.

ADS