Galas: PAS pendam curiga

PAS masih mencurigai "perlawanan persahabatan" yang dianjurkan BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas memandangkan masih tidak banyak isu yang ditimbulkan dalam kempen yang masuk hari ketiga.

Pengarah pilihan rayanya Abdul Fatah Haron berkata PAS kini mengambil langkah tunggu dan lihat, memandangkan BN masih belum menimbulkan isu yang memberi kesan kepadanya.

Isu yang dijangka memberi kelebihan kepada calon PAS Dr Zulkeflil Mohamed dalam pilihan raya kali ini ialah tuntutan royalti minyak Kelantan daripada kerajaan pusat.

"(Tapi) isu-isu besar macam royalti minyak itu kita simpan dulu, kita tunggu bila ada isu BN yang beri kesan pada kita.

"Pada masa sekarang serangan isu-isu BN tak memberi kesan sangat pada kita, jadi tak perlu (ditimbulkan)," katanya kepada Malaysiakini pagi ini.

Bagaimanapun, beliau menafikan tanggapan bahawa isu tersebut tidak ditimbulkan disebabkan "faktor Ku Li" - Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi pengarah jentera BN bagi pilihan raya ini.

Persoalan sama ada Tengku Razaleigh menjalankan kempen dalam pilihan raya kali ini dikatakan turut akan memberi kesan kepada peluang kedua-dua parti untuk memenangi DUN Galas.

Bagaimanapun, putera raja Kelantan itu sejak hari pertama lagi giat berkempen dengan mengunjungi masyarakat Cina yang dikatakan menjadi penentu dalam pilihan raya kali ini.

Hari ini pula, Tengku Razaleigh mengunjungi Pos Balar yang terletak hampir tiga jam perjalanan dari bandar Gua Musang.

Beliau mengadakan pertemuan dengan Tok Batin dan juga jawatankuasa kemajuan dan keselamatan di kampung berkenaan yang mempunyai seramai 254 pengundi.

Berbeza dengan pemimpin BN lain yang mengunjungi kawasan itu dengan menaiki helikopter, Tengku Razaleigh sebaliknya hanya memasuki kawasan tersebut dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Pemerhati di sini melihat, tindakan itu dijangka akan menyebabkan masyarakat Orang Asli lebih bersimpati terhadap Tengku Razaleigh dan akan memberikan undi kepada calon BN, Abdul Aziz Yusof.

Malah, anggota jentera PAS yang ditemui Malaysiakini sendiri memandang tinggi terhadap Tengku Razaleigh sebagai seorang tokoh di Gua Musang.

Lebih-lebih lagi apabila beliau bertegas dengan pendiriannya untuk menyokong tuntutan royalti minyak bagi negeri Kelantan, kata setiausaha dewan pemuda PAS negeri Muhammad Hafiz Musa.

“Ku Li prinsip politik dia tinggi bukan macam ahli politik biasa. Dia melihat kepentingan yang lebih besar dalam berpolitik.

“Walaupun dia dalam BN, selagi dia ada prinsip yang tinggi, selagi itu kita hormat kepada dia,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulai pada malam tadi.

Namun beliau masih menaruh curiga apabila diminta pendapatnya mengenai “pertandingan persahabatan” yang disebut oleh Tengku Razaleigh bagi sebelum ini.

“Kalau BN kata dia tidak akan serang peribadi, itulah sebenarnya yang mereka akan lakukan. Tengoklah seperti yang dilaporkan dalam Umno Online itu,” katanya lagi.

Serangan ke atas Dr Zulkefli, yang didakwa pernah melakukan khalwat itu bukan saja menerima kecaman dari strata bawahan dalam parti, malah dikutuk oleh mursyidul amnya sendiri Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Soalnya nak tuduh orang boleh tuduh, nak tuduh bunuh ke apa ke boleh tuduh, tapi benar ke tidak benda itu.

“(PAS) kena ajar (Umno). Orang kalau hati lembut kita kenyit-kenyit mata pun dia faham, tapi kalau jiwa hamba abdi ni, orang jahat ni, kena rotan baru dia reti (faham),” katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.