Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rais: Anwar bagai 'sembilang di lubuk keruh'
Diterbitkan:  Nov 18, 2010 2:56 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, mengumpamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "sembilang dalam lubuk keruh" yang hanya tahu menyengat untuk kepentingan dirinya.

rais yatim pc 020709 02 Beliau berkata, dengan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang, Anwar sentiasa mengkritik melulu banyak perkara termasuk mengenai Malaysia yang diiktiraf banyak pemimpin asing sebagai sebuah negara Islam moden.

Rais meminta Anwar supaya melihat pengiktirafan terhadap negara ini menerusi "pintu hatinya" dan bukannya bersandarkan kepada firasat politik beliau terutamanya ketika beliau dan parti yang diterajuinya Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dalam keadaan bercelaru.

"Datuk Seri Anwar, sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan sekarang Ketua Pembangkang, janganlah apabila dalam lubuk yang berair jernih lain bahasanya tetapi apabila di dalam lubuk yang keruh airnya lain pula bahasanya.

"Semasa berenang dalam air yang keruh dalam lubuk tertentu, beliau macam seekor ikan sembilang yang suka menyengat ke kiri dan ke kanan, tetapi bila di dalam keadaan air yang jernih, beliau selesa dan tidak membuat apa-apa," katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita pada majlis ibadah korban peringkat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di perkarangan Masjid Muhammadi, Angkasapuri di Kuala Lumpur, hari ini.

batu sapi by election final ceramah 031110 anwar Beliau mengulas kenyataan Anwar bahawa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai negara Islam moden adalah satu penghinaan.

Rais berkata, kenyataan Anwar itu mencerminkan bahawa Penasihat PKR itu mulai merasa keperitan dalam kerjaya politiknya berbanding semasa beliau dalam kerajaan.

"Jadi saya kata begini, seekor ikan yang berada dalam air tidak tahu bahawa ia berada dalam air, bila keluar ke pasir baru tahu hangat dan peritnya hidup.

“Jadi, Datuk Seri Anwar perlu melihat menerusi pintu hati bukan menerusi pintu politik yang beliau sedang berada dalam keadaan kacau sekarang," katanya.

Rais berkata, Malaysia bukan sahaja diiktiraf oleh Australia tetapi turut diperakui kepimpinan negara Timur Tengah dan Eropah bersandarkan pengamatan mereka terhadap pegangan dan amalan negara ini.

Katanya, perakuan mengenai Malaysia sebagai negara Islam moden pernah dibuat seorang tokoh orientalis dari Itali yang memerhatikan tamadun Islam di seluruh dunia bahawa Islam di Malaysia adalah Islam yang paling liberal, paling bersekutu dan saling memupuk erti kebangsaan serta keadaan yang memberi makna kepada pelbagai kaum.

Beliau berkata, tokoh dari Mesir juga menyatakan Islam di Malaysia adalah sebuah agama yang dianut dan dipupuk menerusi Perlembagaan dan amalan.

Rais berkata, jika Anwar melihat kenyataan itu bukan sebagai pengiktirafan, beliau boleh menilai ucapan yang dibuat di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di mana Malaysia sebenarnya sudah jauh ke hadapan berbanding negara lain dalam sifat modennya sebagai sebuah negara Islam.

- Bernama

ADS