Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bicara kes Aminulrasyid ditangguh ke esok
Diterbitkan:  Nov 22, 2010 12:23 PM
Dikemaskini: Nov 23, 2010 2:16 AM

Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini menangguhkan sehingga esok perbicaraan kes seorang koperal polis yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, dalam satu kejadian tembakan ketika remaja itu sedang memandu kereta di Seksyen 11 di sini, April lepas.

Hakim Latifah Mohd Tahar membuat penangguhan itu selepas peguam Salim Bashir yang mewakili Jenain Subi memaklumkan bahawa seorang lagi peguam bela tertuduh, M Athimulan perlu menghadiri perbicaraan kes lain di Pulau Pinang.

Timbalan Pendakwa Raya R. Kalaiyarasi hadir menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar dan Idham Abd Ghani.

Mahkamah sepatutnya menetapkan hari ini untuk pihak pembelaan menyoal balas saksi ke-25 pendakwaan, Cif Ins Mazli Jusoh @ Che Kob dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang merupakan penyiasat tempat kejadian.

Jenain, 48, dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

--Bernama

ADS