Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Rakyat terus dilanda masalah kebocoran dan kali ini air menitis pula di kafeteria ahli parlimen.

Ini berikutan hujan lebat petang ini sehingga menyebabkan sebahagian daripada kafetaria itu terpaksa ditutup sementara untuk kerja-kerja menyedut keluar air.

Kebocoran itu disedari oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk James Dawos Mamit, selepas parlimen bersidang semula pada jam 2.30 petang selepas berehat untuk makan tengahari.

NONE Beliau dilihat memaklumkan kepada MP Jelutong, Jeff Ooi supaya tidak duduk di sebuah sofa berhampiran kebocoran itu.

Kakitangan Dewan Rakyat kemudiannya dimaklumkan dan mereka meletakkan baldi supaya lantai lobi itu tidak basah.

Selain lantai yang basah, kebocoran tidak menjejaskan perjalanan Dewan Rakyat.

Menurut Ooi sekali lagi pihak penyelengaraan gagal menjaga bangunan itu dengan baik dan menghalang kebocoran daripada berulang.

“Ia berulang lagi dan lagi. Saya tidak pasti sama ada masalah dengan struktur bangunan Parlimen kerana kebocoran berlaku di tempat yang lain.

“Saya gesa menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal parlimen memberikan jawapan.

Bagi ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bangunan parlimen baru sahaja diselenggara sehingga menelan kos berjuta-juta ringgit dan beliau mahu ia disiasat.

"Kita persoal apa jadi kepada penyelenggaraan yang dibuat sebelum ini dengan kos berpuluh juta ringgit.

NONE "Adakah ianya dipatuhi dan diteliti?

"Kita minta siasatan dibuat segera," katanya yang juga naib presiden PAS.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata punca sebenar kebocoran bumbung itu, belum dikenal pasti.

Jelasnya, kebocoran bumbung kafeteria itu disebabkan parlimen adalah bangunan lama dan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan itu dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Antara kejadian bocor berlaku di Parlimen ialah pada 28 April 2005 akibat kesilapan teknikal penutup kabel elektrik pada bahagian bumbung Dewan Rakyat menghalang pengaliran air hujan, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Pada 7 Mei 2008, kejadian bumbung bocor berulang di Parlimen apabila air keluar dari saluran pendingin hawa di laluan tepi Dewan Rakyat berhadapan dengan bilik Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bangunan berusia 49 tahun itu telah menjalani kerja-kerja pengubah-suaian bernilai RM100 juta pada tahun 2005.

Kerja-kerja ubah suai masih dilakukan terutama di dalam Dewan Negara dan beberapa bahagian lain di tingkat bawah bangunan Parlimen.

Mohamed Nazri berkata Parlimen tidak akan berpindah atas sebab kerosakan yang berlaku dan bersedia menerima cadangan daripada ahli parlimen untuk menyelesaikan masalah itu.

[Baca berita penuh]

    

     

ADS