Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang saksi dalam perbicaraan kes pembunuhan Aminulrasyid Hamzah hari ini mengakui bahawa beliau bertindak cuai dalam penyiasatannya.

NONE Cif Insp Mazli Jusoh mengakui demikian ketika ditanya peguam Salim Bashir dalam perbicaraan hari ini.

Katanya, beliau telahpun mengetahui bahawa kes tersebut melibatkan tembakan senjata api ketika tiba di lokasi jenayah di Seksyen 11, Shah Alam.

Ketika ditanya, Mazli mengakui bahawa beliau tidak menemuramah anggota polis yang berada di tempat kejadian.

Ditanya lanjut, beliau juga bersetuju bahawa kenderaan polis yang mengejar mangsa merupakan bahan bukti sekunder dalam penyiasatannya.

Dalam jawapannya, Mazli berkata beliau pada masa itu telahpun mengetahui bahawa sebanyak tiga buah kereta peronda terlibat mengejar mangsa.

NONE Mazli juga mengakui tidak bertindak merampas apa-apa senjata api yang digunakan oleh anggota polis berkenaan, mahupun pakaian mereka untuk mengesan individu yang bertanggunjawab melepaskan tembakan.

Mazli berkata, beliau tidak menyiasat lanjut kerana tidak menerima arahan daripada pegawai penyiasat.

Ditanya lanjut, Mazli berkata beliau juga tidak merakam gambar mayat mangsa ketika mangsa masih di dalam kereta berkenaan.

Mazli menjelaskan, beliau hanya mengarahkan jurugambarnya untuk merakamkan mayat mangsa itu setelah beliau mengalihkannya ke atas rumput di luar kereta berkenaan.

"Itu kesilapan saya tidak arahkan jurugambar untuk ambil gambar pada masa itu," katanya.

NONE Tambahnya, beliau juga tidak memperincikan tindakannya mengalihkan mayat mangsa berkenaan di dalam laporannya.

Mazli yang tiba di tempat kejadian pada kira-kira jam 3.10 pagi itu juga berkata, beliau hanya mengutip satu kelongsong peluru dalam penyiasatannya ketika itu.

Tambahnya, kelongsong peluru selebihnya dikutip dalam penyiasatannya di lokasi berkenaan, dua hari kemudian.

Ketika diminta Mohd Dusuki untuk menerangkan maksudnya mengenai kemungkinan kelongsong peluru boleh dirosakkan oleh sesiapa, Mazli berkata kelongsong-kelongsong lain yang dijumpai dua hari selepas kejadian itu mungkin dilepaskan oleh senjata yang berbeza dan ia menunjukkan lebih daripada seorang yang melepaskan tembakan.

"Jika terlewat pungut barang kes mungkin barang-barang kes bukan berada di kedudukan yang asal dan tidak boleh menggambarkan kejadian sebenar.

"Bila didapati ada dua penembak yang lepaskan tembakan kemungkinan tembakan yang mengenai mangsa adalah daripada salah seorang penembak yang telah melepaskan tembakan," katanya. 

Turut memberi keterangan hari ini ialah Lans Koperal Madi Samsudin dari cawangan persenjataan Balai Polis Seksyen 6 di Shah Alam.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung pada 29 Nov ini. 

ADS