Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Jangan percaya media bohong
Diterbitkan:  Dec 3, 2010 12:36 AM
Dikemaskini: Dec 3, 2010 7:09 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pelajar Malaysia luar negara supaya berwaspada terhadap sebahagian daripada media Malaysia yang sering memutarbelit berita dan menyebar pembohongan.

"Kepada pimpinan pelajar, saya minta mereka faham untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan fitnah dan pembohongan media ini," kata Timbalan Perdana Menteri pada sidang media selepas berdialog dengan sekumpulan pimpinan pelajar dari seluruh Indonesia di Jakarta semalam, lapor Bernama .

Muhyiddin, yang sedang dalam rangka lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Indonesia sejak semalam, memberi reaksi ini kepada pandangan mereka yang meminta agar media di Malaysia ada asas kebenaran dan telus menyampaikan maklumat laporan-laporannya.

"Saya jelaskan bahawa media merupakan alat yang berpengaruh dan di samping media di pihak yang membantu kerajaan, kita harus juga menilai media yang dibawa oleh parti pembangkang yang kita tahu sebahagiannya begitu mahir untuk spin (memutarbelit) berita-berita tak benar," katanya.

'Dalami 1Malaysia'

Turut menghadiri majlis dialog itu ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata beliau bersetuju supaya satu seminar Gagasan 1Malaysia dianjurkan untuk pimpinan pelajar Malaysia seluruh Indonesia dan rakyat Malaysia di Jakarta agar mereka dapat faham secara lebih mendalam mengenai konsep itu.

"Mereka (pemimpin pelajar) beri sokongan kepada Gagasan 1Malaysia tetapi mereka dapat maklum balas ada sebahagian daripada rakyat Malaysia di sini belum mendalami konsep ini.

"Dengan adanya seminar ini, kita boleh menjemput pakar dan penceramah dari Malaysia dan mereka boleh berinteraksi dan memahami lebih lanjut," katanya.

Beliau berkata pimpinan pelajar Malaysia di Indonesia turut menyatakan sokongan terhadap keputusan kerajaan untuk memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) namun mereka mahukan sistem penilaian yang akan menggantikan peperiksaan itu lebih kemas dan lebih baik.

Sehubungan itu, mereka diberi jaminan bahawa sistem pentaksiran berasaskan sekolah yang akan menggantikan PMR akan berupa sistem yang lebih kemas.

"Walaupun tidak akan menduduki peperiksaan PMR, mereka juga akan dinilai prestasi dengan lebih baik supaya kita lebih tahu kemajuan pelajar-pelajar kita," katanya.

- Bernama

ADS