Nasib Konstabel V Navindran yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang tahanan polis, A Kugan akan ditentukan pada 28 Januari depan, - sama ada diarah bela diri atau dilepaskan daripada pertuduhan itu.
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang sepatutnya membuat keputusan hari ini menangguhkan pengumuman keputusannya ke atas konstabel polis berusia 28 tahun itu ke bulan depan.
Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh baru itu selepas berjumpa dengan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi dan pihak pembelaan yang diwakili peguam Datuk PM Nagarajan dalam kamarnya.
Nagarajan ketika ditemui pemberita, berkata hakim memberitahu kedua-dua pihak bahawa mahkamah belum bersedia untuk menyampaikan keputusan berkenaan.
Navindran, 28, didakwa atas dua tuduhan yang mengakibatkan kecederaan parah ke atas Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di bilik soal siasat D9, balai polis Taipan, USJ, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 4 petang pada 16 Januari tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Bagi dua pertuduhan pilihan menyebabkan cedera kepada Kugan, Navindran turut mengaku tidak bersalah di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.
Prosiding bicara itu yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali dan Abazafree Mohd Abbas berlangsung selama 25 hari, bermula 18 Februari lalu dan mengemukakan 24 saksi pendakwaan.
