Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak bercadang mengikut langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi diskaun saman terhadap pesalah trafik buat masa ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata untuk tempoh sekarang saman yang dikeluarkan JPJ kepada pesalah trafiknya adalah kekal pada kadar sedia ada.
"Buat sementara ini, JPJ akan kekalkan sistem (saman) yang ada (terhadap pesalah lalu lintas)," kata beliau kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kementeriannya, di Putrajaya hari ini.
Beliau diminta mengulas sama ada JPJ akan memberi diskaun saman terhadap pesalah lalu lintas, seperti yang dilakukan PDRM bagi menangani masalah saman tertunggak pada kalangan pengguna jalan raya di negara ini sejak sekian lama.
Kong berkata JPJ juga tidak bercadang melanjutkan tempoh menarik balik sementara tindakan terhadap pesalah trafik yang disenarai hitam, yang ditetapkan sehingga 28 Februari depan.
"Pada masa ini kita belum membuat sebarang keputusan untuk melanjutkan tempoh ini," katanya.
Pada Ogos lalu, kerajaan mengumumkan penarikan balik sementara tindakan ke atas pesalah trafik yang disenarai hitam kerana tidak menjelaskan saman, dan membenarkan mereka memperbaharui cukai jalan serta lesen memandu.
Dalam perkembangan lain, Kong berkata beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan rakan sejawatannya dari Singapura pada Januari depan, berhubung pembinaan terowong bawah laut bagi laluan sistem transit pantas (RTS) menyeberangi Selat Johor menghubungkan Tanjung Puteri dengan Woodlands.
Malaysia dan Singapura pada Mei tahun lalu bersetuju untuk membangunkan perkhidmatan RTS sepanjang 1.5 kilometer secara bersama dan ia dijangka beroperasi menjelang 2018.
- Bernama
