Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tidak timbul soal Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) gagal menghimpunkan ramai penyokongnya bagi menyerahkan memorandum yang mengandungi dakwaan penyelewengan oleh kerajaan negeri Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya, pengerusinya, Hamidzun Khairuddin berkata, objektif utama perhimpunan kumpulan itu di Stadium Merdeka semalam adalah bagi menyerahkan memorandum tersebut, telah tercapai.

"Matlamatnya bukan kuantiti, tetapi (berhimpun) untuk menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Itu objektif utama. Dan kita mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa dan kita mengikut undang-undang.

"Itu bukan soalnya (gagal menghimpun ramai penyokong), sebaliknya bergantung kepada objektif... Tujuan kita untuk menyampai memorandum tercapai," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Hamidzun mengulas hanya kira-kira 200 penyokong Gaps yang berpakaian hitam berhimpun di stadium tersebut untuk berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum itu walaupun hasrat awal mereka menghimpunkan sebanyak 2,000 peserta.

Bagaimanapun Gaps tidak meneruskan hasrat mengadakan perarakan selepas berbincang dengan pihak polis dan wakil mereka menaiki dua buah kereta untuk menyerahkan memorandum tersebut ke istana.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Hamidzun kesal dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang didakwa gagal mengawal "pengikutnya" dalam demontrasi membantah kenaikan harga air di Masjid Negara semalam.

Malah beliau mendakwa lebih malang apabila mereka "gagal untuk mematuhi arahan dan undang-undang negara, sebaliknya menggunakan hukum rimba untuk berhimpun".

"Peristiwa ganas semalam 5 Dec 2010 di Masjid Negara merupakan peristiwa hitam kepada pentadbiran kerajaan (Tan Sri) Khalid Ibrahim.

"Ia merupakan produk kerajaan negeri yang tidak bertanggungjawab. Rakyat Selangor malu dengan tindak tanduk dan pelakuan menteri besar Selangor dan pengikut-pengikutnya semalam," katanya dalam kenyataan itu.

Sehubungan itu, Hamidzun mendesak Khalid memohon maaf kepada seluruh rakyat Selangor berhubung perkara tersebut.

ADS